Ahad, 10 Jun 2018 | 8:46am
Tumbukan padu Tyson Fury (kanan) singgah tepat ke muka Sefer Seferi pada kejohanan tinju heavyweight dunia di Arena Manchester, malam tadi. - Foto AFP

Tyson Fury menang pertarungan tanpa berpeluh

MANCHESTER (United Kingdom): Bekas juara tinju heavyweight dunia, Tyson Fury gembira selepas muncul pemenang pada saingan yang hanya berlangsung empat pusingan ketika kekurangan aksi yang hebat berlangsung di Arena Manchester di sini, malam tadi.

Kemunculan singkat Fury di gelanggang itu jelas menyerlahkan tenaganya membuatkan pencabarnya dari Abania, Sefer Sefer terkedu di sudut gelanggang sebelum pertarungan dihentikan memasuki pusingan kelima.

Fury, 29, tidak mempamerkan aksi sebenarnya ketika bertarung melawan pencabar yang berpangkalan di Switzerland itu hingga memaksa pengadil, Phil Edwards mengarahkan kedua-dua petinju beraksi pada tahap sebenar untuk kepuasan penonton yang sudah menunggu selama hampir tiga tahun sejak Fury tidak beraksi.

"Dia tidak datang ke sini untuk bertarung, dia cuma terkinja-kinja di gelanggang," kata Fury kepada media sejurus tamat pertarungan.

"Pencabar saya ini kecil dan kelihatan mudah, tetapi dia sempat menguji saya beberapa pusingan dan saya puas hati dengan kelibatnya.

"Saya tidak melakukan sebarang perubahan dan kami akan terus sedia untuk pertarungan lain selepas ini. Saya akan pulang dan menikmati pizza dan akan terus berlatih semula esok.

"Saya boleh menumbangkan dia pada awal pusingan pertama lagi, tetapi apa faedahnya saya dapat? Dengan empat pusingan, sekurang-kurangnya saya lama sedikit ke udara di siaran televisyen.

"Dia ada juga melepaskan beberapa tumbukan padu saya tidak mahu mengingatinya. Saya berlatih dua setengah tahun dan ia masa yang lama untuk pertarungan ini. Mulai hari ini, saya akan menikmati kerjaya saya ini dengan lebih serius dan harungi setiap saatnya dengan gembira," kata Fury.

Seferi, yang tujuh inci lebih rendah berbanding Fury tampil dengan garang pada pusingan awal dengan gerakan pantas yang menyukarkan jangkauan pencabarnya hingga membangkitkan suasana kejutan bakal berlaku di Arena Manchester itu.

Namun Fury yang tampil semula selepas rehat panjang tidak berdepan cabaran sebenar selepas itu sekali gus menyaksikan pemegang gelaran utama tiga badan tinju dunia itu -  Persatuan Tinju Dunia (WBA), Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dan Badan Tinju Dunia (WBO) yang diramas daripada petinju Ukraine, Wladimir Klitschko menerusi kiraan mata pada 2015 menjadi mudah selepas itu. - AFP

17 dibaca
Berita Harian X