Selasa, 22 Mei 2018 | 6:03pm
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Owee Ah Chun

'Tunggu hasil siasatan PABM'

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggantung program angkat berat di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) hanya akan ditentukan selepas siasatan dalaman oleh Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) selesai.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan ketika ini pihaknya sedang menunggu hasil siasatan dilakukan PABM.

"Apa yang kami lakukan sekarang ini ialah menggantung program untuk atlet terbabit, tinggalkan MSN sehingga dipanggil PABM," kata Shapawi.

"Kami juga melakukan proses ujian air kencing kepada atlet yang ada dalam program dan siasatan dalaman PABM menerusi jawatankuasa ditubuhkan mereka akan menyiasat kenapa dan bagaimana atlet menerima bahan berkenaan.

"PABM akan menjatuhkan hukuman dan MSN hanya menggantung program sehingga keputusan ujian air kencing diketahui."

Sukan angkat berat berdepan isu doping berganda selepas tiga atlet pelapisnya - Muhamad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesos - didapati gagal ujian doping oleh Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF).

Sampel air kencing ketiga-tiga atlet berkenaan didapati mengambil bahan larangan Stanozolol dan ia menambahkan lagi tekanan buat PABM yang sebelum itu mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad positif ujian doping pada awal bulan ini.

Kesan daripada itu, Chef de Mission ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bertindak mahu menggugurkan sukan angkat daripada disenaraikan ke temasya itu. 

Berita Harian X