Isnin, 21 Mei 2018 | 5:23pm
PENOLONG Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar. - Foto Osman Adnan

ADAMAS tingkat saringan doping

 

PUTRAJAYA: Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) sedia tingkatkan kekerapan ujian saringan doping secara rambang bagi memastikan tiada lagi kes atlet kebangsaan terbabit menggunakan bahan terlarang dan dadah secara haram di Sukan Asia Jakarta 2018, pada Ogos ini.

Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar berkata, biarpun kebanyakan atlet kebangsaan bakal beraksi di Sukan Asia 2018 adalah mereka yang mewakili Malaysia ke Sukan Komanwel Gold Coast, ADAMAS tetap perlu meningkatkan tahap pemantauan dan kekerapan ujian saringan doping bermula sekarang.

Menurut Nishel, mana-mana atlet tersenarai ke Sukan Asia Jakarta 2018 terutama acara berisiko seperti berbasikal, olahraga dan bina badan akan menjalani ujian saringan air kencing secara rambang dengan lebih kerap mulai sekarang.

"Tindakan ini perlu bagi memastikan tiada seorang pun atlet kebangsaan didapati positif penggunaan dadah atau bahan terlarang lain ketika temasya Sukan Asia Jakarta 2018 sebenar berlangsung nanti," kata Nishel.

"Kita juga akan memperbanyakkan program ceramah dan bual bicara bagi memastikan semua atlet Malaysia mendapat gambaran tepat dan lebih jelas mengenai masalah serta kesan negatif penyalahgunaan doping atau bahan terlarang lain."

Mengulas lanjut, Nishel berkata ujian saringan lebih kerap penting berikutan kes seorang atlet angkat berat yang menang pingat gangsa di Sukan Komanwel 2018 didapati positif doping pada April lalu. 

Nishel berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan persatuan sukan kebangsaan dan negeri bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan atlet mengenai kesan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang lain.

Sebelum ini, media melaporkan, kejayaan skuad angkat berat negara meraih dua pingat emas dan satu gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tercemar apabila seorang atletnya yang beraksi pada temasya kedua terbesar dunia itu, disahkan positif bahan terlarang stanozolol - sejenis bahan terlarang daripada anabolik steroid.

Berita Harian X