Khamis, 17 Mei 2018 | 11:04am
RAYNA Hoh

Rayna tidak berani janji pingat

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah berjaya mendapat tiket beraksi ke Sukan Olimpik Belia di Buenos Aires, Argentina secara merit, namun Rayna Hoh tidak berani menjanjikan sebarang pingat.

Malah untuk beraksi di temasya Sukan SEA di Filipina dua lagi juga agak sukar kerana atlet gimnas ini perlu berdepan dengan senior yang jauh lebih berpengalaman.

Kata Rayna, beraksi di Argentina itu bukan tiket untuk dia terpilih ke Sukan SEA 2019, malah dia perlu berusaha lebih keras bagi memantapkan rutin agar lebih konsisten.

"Buat ketika ini saya hanya mahu fokus kepada latihan di bawah jurulatih, Lidia Legotina.

"Saya masih belum mahu memikirkan mengenai aksi di Buenos Aires lagi kerana masih jauh.

"Tapi saya mahu buat yang terbaik untuk negara dan diri sendiri kerana ia adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan," katanya.

Pada Kejohanan Gimnastik Berirama yang lalu, Rayna menjadi atlet remaja negara paling menyerlah apabila menyumbangkan dua pingat gangsa.

Terdahulu, seramai 12 atlet daripada tiga jenis sukan sudah layak ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina bermula 6 hingga 18 Oktober depan.

Mereka adalah pasukan hoki lelaki lima sebelah; pemain ping pong, Choong Javen serta dua gimnas Rayna (gimrama) dan Zarif Iman Khalid (artistik).

Berita Harian X