Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:13pm
ATLET angkat berat negara, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad. - Foto NSTP

PABM sahkan Fazrul Azrie 'kantoi' doping

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad sebagai atlet yang gagal dalam ujian doping.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail mendedahkan keputusan sampel B yang diuji atas permintaan Fazrul turut didapati positif dadah jenis stanozolol.

Fazrul, 22, mengambil bahagian di Gold Coast dalam kategori bawah 85 kilogram.

"Ujian sampel B dijalankan hujung bulan lalu dan kami hanya menerima keputusan makmal, Rabu lalu," kata Hanapah pada sidang media di Majlis Sukan Negara, hari ini.

"Kami tidak cuba menyembunyikannya sebelum ini, ia hak atlet untuk mengelak daripada identiti terdedah hingga keputusan sampel B dikeluarkan.

"Kini kami boleh mengesahkan bahawa Fazrul Azrie didapati positif doping."

Hanapah turut mendedahkan Fazrul mengaku dia mengambil pemakanan tambahan sebagai bantuan untuk pulih segera daripada kecederaan yang dialaminya sewaktu kem latihan di Balikpapan, Indonesia.

Beliau turut mengesahkan sesi pendengaran akan dijalankan buat Fazrul mempertahankan dirinya dengan PABM akan memutuskan tempoh penggantungan ke atasnya yang mesti selari dengan garis panduan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

WADA memandang serius bahan yang membantu meningkatkan prestasi seperti anabolic steroid dan sejak 2015 sudah menguatkuasa hukuman penggantungan empat tahun untuk pelaku kali pertama.

"Dia berpeluang untuk mempertahankan dirinya sewaktu sesi pendengaran dan anda akan tahu selebihnya selepas itu. Sesi itu hampir pasti akan dijalankan selepas mesyuarat agung tahunan PABM 12 Mei ini."

Jelas Hanapah, PABM akan mengemukakan salinan laporan sesi pendengaran itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang kemudiannya akan memutuskan langkah mengenai pingat yang dimenangi Fazrul di Gold Coast.

19 dibaca
Berita Harian X