Khamis, 3 Mei 2018 | 10:05pm
DATUK Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tegaskan mereka bersedia melakukan ujian doping terhadap setiap atlet walaupun ia membabitkan kos tinggi. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

Anda mahu bayar atau malu: Azim

KUALA LUMPUR: "Anda mahu bayar (ujian doping) atau malu?" persoalan itu dibangkitkan oleh Chef-de-Mission negara ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang menegaskan mereka bersedia melakukan ujian doping terhadap setiap atlet walaupun ia membabitkan kos tinggi.

Malaysia kebiasaannya menghantar sampel ke makmal yang diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di India dengan setiap ujian membabitkan kos AS$240 (RM945).

Arena sukan negara dipalit isu doping pada Sukan Komanwel Gold Coast baru-baru ini apabila atlet angkat berat yang meraih pingat gagal ujian yang dilakukan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

"Kami sekali lagi meletakkan sasaran "zero doping" dengan cuba meletakkan pelbagai syarat atau peraturan bagi mengelakkan kes doping berulang. Semua atlet akan diuji bagi memastikan mereka sah tidak menggunakan bahan terlarang sebelum dibenarkan beraksi di Sukan Asia.

"Mereka yang menjalani latihan di luar negara juga tidak akan terlepas. Kami akan bekerjasama dengan semua bagi memastikan ujian dapat dijalankan. Ia perlu dilakukan kerana sudah kerap berlaku (penggunaan bahan terlarang)," jelasnya.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) itu menjelaskan mereka akan memberikan tempoh masa tertentu kepada setiap persatuan sukan kebangsaan menyelesaikan perkara itu supaya semua yang terpilih dapat menjalani ujian sebelum ke temasya Ogos depan.

"Seramai 551 atlet daripada 40 jenis sukan sudah disenarai panjang bagi menghadapi temasya di Jakarta-Palembang dengan ISN turut menyenaraikan 82 pegawai sains dan perubatan sukan.

"Saya akan mengadakan lawatan dengan menekankan kepada beberapa aspek penting persediaan atlet seperti jurang persembahan."

Ditanya mengenai sasaran Sukan Asia, beliau menjelaskan ia akan diumumkan selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan selain mahu berada dalam kedudukan 10 negara terbaik serta mengatasi pencapaian empat tahun lalu.

Berita Harian X