Isnin, 30 April 2018 | 3:26pm
PEMANGKU Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PABM tenang tangani isu doping

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak bercadang mengambil sebarang langkah drastik termasuk menghentikan penghantaran atlet menjalani latihan di luar negara susulan isu doping yang melanda sukan itu.

Seorang pemenang pingat di Sukan Komanwel Gold Coast kini menanti keputusan sampel B selepas sampel A disahkan mengandungi bahan terlarang jenis stanozolol. 

Ia susulan ujian dalaman yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) selepas pulang daripada menjalani latihan dan pertandingan di Balikpapan, Indonesia.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail, menjelaskan masih terlalu awal bagi pihaknya mengambil sebarang tindakan drastik.

"Kita perlu melihat punca dulu. Sekiranya ia berlaku di luar negara semasa latihan, kita mungkin boleh memberi cadangan supaya latihan tidak lagi dilakukan di lokasi yang berisiko. Kita sudah tidak menghantar atlet ke China sejak tahun lalu susulan isu doping yang melanda negara berkenaan," kata Abu Hanapah.

"Jadi selepas keputusan sampel B diperoleh, satu jawatankuasa untuk menyiasat akan ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar perkara ini berlaku sama ada ia berlaku di luar negara atau sebaliknya. Bagaimanapun sebarang tindakan mengenai program latihan perlu dibincangkan bersama pihak yang berkepentingan."

Menurut Abu Hanapah, keputusan sambel B dijangka akan diketahui minggu depan.

"Pada peringkat ini, kita tidak boleh memaklumkan atlet mana yang terbabit namun satu sidang media akan diadakan selepas keputusan sampel B diperoleh," katanya.

Insiden berkenaan mencemarkan reputasi cemerlang angkat berat yang melakar kejutan meraih dua emas dan sebutir gangsa di Gold Coast.

Berita Harian X