Ahad, 29 April 2018 | 2:05pm
BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad. - Foto Goh Thean Howe

Formula atasi kes doping badang negara

KUALA LUMPUR: Menyenaraikan bahan terlarang yang sering digunakan atlet angkat berat sebagai dadah dalam kesalahan jenayah di negara ini mungkin boleh menjadi penyelesaian kepada masalah doping yang menghantui sukan itu.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan dalam usaha membanteras penggunaannya kerana mereka yang terbabit boleh dikenakan hukuman lebih keras.

"Sebelum ini ada cadangan untuk menyenaraikan bahan terlarang dalam sukan ini sebagai dadah dalam kesalahan jenayah supaya mereka yang terbabit boleh dikenakan hukuman lebih keras.

"Saya rasa perkara ini boleh dipertimbangkan dan mungkin boleh menjadi penyelesaian kepada masalah doping dalam sukan berkenaan," katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes terbaru membabitkan seorang pemenang pingat di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini didapati positif dalam ujian doping sebelum berlepas ke temasya kedua terbesar dunia itu.

Selain kes terbaru itu, antara atlet yang pernah gagal doping ialah pemenang emas Sukan Komanwel Glasgow 2014, Hafifi Mansor, Khairul Anuar Mohamad, Constantine Clement, Mohd Nasir Roslan selain pemenang tiga emas Sukan Komanwel Manchester 2002, Amirul Hamizan Ibrahim.

Susulan rekod buruk dalam kes doping itu, angkat berat menjadi antara tiga sukan selain sepak takraw dan taekwondo yang digugurkan daripada program sukan teras.

Menurut Mazlan, beliau percaya kes doping yang kerap berlaku disebabkan angkat berat sukan yang 'menjemukan' dan  atlet yang tidak mempunyai ketahanan yang tinggi pasti akan menggunakan jalan singkat dan terjerumus menggunakan bahan terlarang itu.

"Menjemukan maksud saya adalah sukan ini tidak seperti bola sepak atau sepak takraw yang mana atlet boleh mempamerkan aksi mereka di atas padang. Jadi, kita kena faham keadaan di mana atlet itu berlatih," katanya.

Meskipun atlet angkat berat terus terpalit dengan kes doping, Mazlan bagaimanapun mahu sukan itu terus dibangunkan berdasarkan rekod kejayaan yang dicipta dalam beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel.

"Kita jangan cepat menghukum dan buat kesimpulan terlalu cepat. Atlet kita masih ada potensi cuma kenalah kita berusaha cari formula membanteras penyalahgunaan bahan terlarang ini. Kita kenalah kerja lebih sedikit.

"Lagipun, sukan ini sudah banyak membantu kontinjen negara terutama di Sukan Komanwel," katanya.

Berita Harian X