Jumaat, 27 April 2018 | 3:18pm
AMIRUL Hamizan Ibrahim.

Jangan tekan badang gagal doping - Amirul

KUALA LUMPUR: Pengurus skuad angkat berat negara ke Sukan Komanwel 2018, Amirul Hamizan Ibrahim meminta semua pihak tidak memberikan tekanan tambahan kepada atlet yang gagal ujian doping, baru-baru ini.

Beliau sebaliknya menggesa supaya menunggu keputusan sampel B sebelum membuat pelbagai andaian yang boleh memburukkan lagi situasi.

"Saya minta semua tunggu keputusan sampel B. Jangan buat pelbagai spekulasi seperti dikenakan hukuman gantung empat tahun, perlu pulang pingat dan sebagainya.

"Atlet berkenaan terkejut dengan keputusan positif itu, jadi biar keputusan sampel B diketahui dulu," katanya yang juga Exco Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) semalam mengesahkan seorang atlet angkat berat negara yang memenangi pingat di Sukan Komanwel Gold Coast positif menggunakan bahan terlarang, stanozolol (sejenis bahan terlarang daripada anabolik steroid).   

Keputusan itu jelas mencemarkan pencapaian hebat skuad angkat berat yang membawa pulang dua pingat emas dan satu gangsa daripada temasya kedua terbesar dunia itu.

"Saya tidak berani menyatakan sama ada dia bersalah atau sebaliknya, hanya dia saja yang tahu. Sukar bagi pihak kita untuk mengawal mereka 24 jam. Namun jika benar, ia adalah tindakan yang bodoh dan membunuh karier sendiri.

"Saya ada menghubunginya, dan dia ternyata terkejut dengan keputusan sampel berkenaan dan minta dia tidak memberi sebarang ulasan sehingga keputusan sampel B diumumkan.

"Dia berada pada kedudukan kelapan jika dilihat pada senarai awal peserta yang bertanding di Gold Coast, namun saya mengenalinya sebagai dia seorang pejuang.

Malah jumlah angkatan di Gold Coast adalah sesuatu yang biasa dilakukan semasa latihan," jelasnya.

ADAMAS menjangkakan keputusan sampel B akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Berita Harian X