Rabu, 25 April 2018 | 9:01pm
PEMANGKU PABM, Abu Hanapah Ismail akui skuad angkat berat negara ke Sukan Komanwel melalui ujian doping. - Foto OWEE AH CHUN

Kami belum dimaklumkan: PABM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mendakwa mereka tidak dimaklumkan jika ada antara atlet mereka gagal ujian doping yang dijalankan sebelum Sukan Komanwel Gold Coast baru-baru ini.

Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail bagaimanapun mengakui, skuad angkat berat negara ke Sukan Komanwel melalui ujian doping sebelum temasya tetapi masih belum mendapat keputusan sepenuhnya.

Semalam media melaporkan atlet negara yang memenangi gangsa di Gold Coast gagal ujian doping sebelum temasya dan kemungkinan pingat itu akan ditarik semula.

"Ya, kami ada melakukan ujian dalaman sebelum Sukan Komanwel dan ia dilakukan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS)," kata Hanapah.

"Ujian itu dilakukan ke atas tiga kumpulan atlet kami, dua kumpulan pertama menjalani ujian sebulan sebelum temasya dan kami sudah mendapat keputusannya. Tiada yang gagal.

"Kumpulan ketiga diuji seminggu sebelum Sukan Komanwel memandangkan mereka sebelum ini berlatih di luar negara. Kami belum menerima keputusan ujian untuk kumpulan terakhir ini.

"Sudah tentu kami tidak mahu mana-mana atlet kami terbabit dalam doping kerana ia mencemari sukan ini, ia juga boleh menyebabkan kami didenda AS$5,000 (RM19,500) sekiranya mereka didapati positif doping dalam kejohanan antarabangsa. Sebab itu kami menjalankan ujian dalaman.

"Kami akan membuat pengumuman kepada media jika ada antara atlet kami didapati positif."

Usaha mendapatkan pengesahan daripada ADAMAS tidak berhasil.

Hanapah mendedahkan, selain ujian pratemasya yang dilakukan, Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) turut melakukan ujian mengejut ke atas atlet angkat berat negara, bagaimanapun tidak semua atlet dapat diuji.

"IWF datang ke sini untuk melakukan pemeriksaan mengejut ke atas atlet kami dua minggu sebelum Sukan Komanwel tapi skuad elit kami berada di kem latihan luar negara.

"Mereka menjalankan ujian ke atas atlet berusia 16 tahun ke atas yang sedang berlatih di gimnasium. Mereka bagaimanapun tidak terbabit dalam Sukan Komanwel," katanya.

Skuad angkat berat Sukan Komanwel yang berada di bawah Program Podium dihantar ke Vietnam untuk kem latihan pratemasya manakala selebihnya berlatih di Balikpapan, Indonesia.

Malaysia memenangi dua emas dan satu gangsa menerusi angkat berat di Gold Coast.

PABM tidak asing lagi dalam kes doping, antara punca yang menyebabkan mereka dikeluarkan daripada program Sukan Teras Kebangsaan.

Bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Hafifi Mansor didapati positif anabolik steroid pada Terbuka Australia tahun lalu.

Berita Harian X