Rabu, 11 April 2018 | 6:56pm
ATLET karate negara, Syakilla Salni memperoleh gangsa dalam acara kumite wanita bawah 55kg.

Skuad karate raih 1 perak, 1 gangsa di Rabat

KUALA LUMPUR: Biarpun sekadar memperoleh satu perak dan satu gangsa pada Liga Perdana Karate 1 (K1) di Rabat, Maghribi hujung minggu lalu, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) belum mahu menekan butang panik.

Alasannya, mereka masih dalam peringkat persediaan dan MAKAF mahukan barisan atlet mereka mencapai kemuncaknya di Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti.

Pasukan kata lelaki negara yang diwakili Ivan Oh Theng Wei, Emmanuel Leong dan Hoe Thomson menghadiahkan pingat perak sementara pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Syakilla Salni Jefry Krishnan memperoleh gangsa dalam acara kumite wanita bawah 55kg.

"Atlet karate kita sebenarnya belum di peringkat kemuncak kerana kita mengharapkan mereka berada di prestasi terbaik ketika temasya Sukan Asia nanti," kata Pengurus Pasukan, Tan See Toh, hari ini.

See Toh berkata, persembahan Syakilla semakin baik dalam persiapan ke Sukan Asia dan juga persediaan bagi kelayakan Olimpik 2020.

"Kita tetap menghantar pasukan kata lelaki walaupun tidak dipertandingkan di Sukan Asia kerana kita perlu melakukan persediaan menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina," katanya.

Mengenai status kecederaan lutut Lim Chee Wei yang membantu pasukan kata lelaki negara memenangi emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur, See Toh berkata, atlet itu sudah mula menjalani latihan.

Skuad karate negara akan menyertai K1 di Istanbul pada 8-10 Jun ini.

Berita Harian X