Isnin, 9 April 2018 | 8:54pm
PEMAIN pasukan SSTMI Thunderbolts (tengah) diasak oleh dua pemain BJSS Thunderbolts pada perlawanan Liga Hoki Malaysia 2018 di Stadium Hoki KLHA. - Foto Hafiz Sohaimi

SSTMI Thurderbolts bermimpi gelaran

KUALA LUMPUR: SSTMI Thunderbolts hampir pasti menakluk gelaran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2018 biarpun masih berbaki tiga perlawanan.

Skuad kendalian Wan Roslan Wan Rahman itu yang terlucut gelaran liga kepada MBPJ Tigers pada musim lalu, mengungguli carta dengan 18 mata selepas enam perlawanan dan kelihatan tidak berdepan masalah mengutip kemenangan pada baki tiga perlawanan.

Bermula dengan kunjungan ke Olak pada 13 April ini, mereka seterusnya akan bertemu dengan Young Lions Perlis (15 April) sebelum melengkapkan jadual liga menentang MBPJ Tigers (18 April).

Lebih meyakinkan, Olak dan Young Lions Perlis adalah pasukan belasahan pada musim ini apabila masing-masing gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima dan empat perlawanan dilalui.

MBPJ Tigers yang menjinakkan SSTMI Thunderbolts 3-2 dalam pertemuan liga musim lalu, bukan lagi pasukan sama seperti tahun lalu apabila hanya menghimpun tujuh mata daripada enam aksi.

"Kami masih perlu melengkapkan tiga baki perlawanan, tetapi saya rasa pasukan saya tidak berdepan masalah untuk mengatasi mereka selepas kami menewaskan tiga pencabar utama kami sebelum ini.

"Jadi, saya menjangkakan laluan mudah untuk kami merampas kembali gelaran liga kali ini," kata pengendali SSTMI Thunderbolts, Wan Roslan.

Tiga pencabar yang menjadi 'makanan' SSTMi Thunderbolts itu adalah SSBJ Thunderbolts (menang 2-0), AHP-SSP Thunderbolts (5-0) dan Anderson Thunderbolts (3-2)

"Aksi bertemu SSBJ terdapat tiga pemain kami yang cedera termasuk demam (Akhimullah Anuar Esook) tetapi kami masih berupaya meraih tiga mata," katanya.

Akhimullah yang muncul penjaring terbanyak musim lalu dengan 17 gol, sekali lagi kekal mendahului senarai penjaring dengan 11 gol setakat ini.

Berita Harian X