Sabtu, 24 Februari 2018 | 12:25pm
JUPHA ketika meraih emas tunggal negara dalam saingan elit Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional minggu lalu.

Beasley tuntut komitmen tinggi Jupha

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih trek negara, John Beasley menuntut komitmen tinggi Jupha Somnet dalam misi menjadikan dirinya sebagai Olimpian.

Pelumba kelahiran Perlis berkenaan meraih emas tunggal negara dalam saingan elit Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional minggu lalu.

Dia melakar kejutan apabila meraih emas dalam acara perlumbaan mata dengan mengumpul 35 mata manakala pelumba Hong Kong, Diao Xiaojuan dan Ke Xin Zeng dari Taiwan masing-masing meraih perak dan gangsa.

"Sudah pasti saya mempunyai perancangan untuknya. Saya melihat aksi terbaik Jupha di perlumbaan mata namun masih ada "Jupha yang lama" dalam perlumbaan lain disertainya.

"Jika dia memberikan komitmen yang tinggi, dia akan menjadi Olimpian. Kita akan memberi peluang kepadanya namun terpulang bagaimana dia mahu memanfaatkannya.

Dia atlet yang berkualiti namun mentaliti perlu diubah.

"Saya berharap dia akan gunakannya kali ini, belajar dan dahagakan kejayaan untuk mencapai pencapaian lebih tinggi. Jika sebaliknya, orang lain akan mengambil peluang itu," jelas pengendali dari Australia itu.

Jupha mendapat sentuhan Beasley menjalani latihan di Melbourne sebelum ini, namun gagal layak ke Olimpik Rio dalam acara omnium apabila berada dalam senarai simpanan dan dia turut gagal meraih emas di Sukan SEA tahun lalu.

Namun pencapaiannya di ACC mencetuskan harapan baru untuk melihatnya kembali bersaing merebut tiket ke Olimpik 2020 selepas cemerlang di pentas Asia.

Berita Harian X