Jumaat, 23 Februari 2018 | 11:29am
PELUMBA pasukan Mersing, Mohd Akmal Nazimi Jusena meraih emas dalam acara Flying 200m individu lelaki bawah 15 tahun pada siri pertama Kejohanan Trek Berbasikal Junior (JCM-CIMB) di Velodrom Nasional, semalam.

Akmal Azimi, Chin Hui raih emas JCM-CIMB

NILAI: Mohd Akmal Nazimi Jusena daripada pasukan Mersing meraih emas dalam acara Flying 200m individu lelaki bawah 15 tahun pada siri pertama Kejohanan Trek Berbasikal Junior (JCM-CIMB) di Velodrom Nasional di sini, semalam.

Pingat perak diraih Muhammad Firdaus Saurana daripada pasukan Perlis manakala gangsa menjadi milik Muhammad Iskandariah Medina Mohd Hisham daripada pasukan Johor.

Mohd Akmal Nazimi menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 13.020 saat (s) manakala Muhammad Firdaus (13.208s) dan Muhammad Iskandariah Medina (13.432s).

Bagi acara flying 200m individu wanita bawah 15 tahun, Nyor Chin Hui daripada pasukan Perak meraih emas selepas mencatatkan masa 15.273s.

Dia meninggalkan pencabarnya, Anis Natasya Ahmad dari Kedah yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas mencatatkan masa 16.165s.

Tempat ketiga diraih pelumba daripada Sekolah Sukan Terengganu, Ameera Alya Md Zahiruddin dengan catatan masa 16.280s.

Kejohanan selama empat hari bermula semalam itu menarik penyertaan 200 pelumba daripada seluruh negara membabitkan tiga kategori umur iaitu 15, 17 dan 19 tahun.

Antara acara yang dipertandingkan ialah keirin, ujian masa, pecut, Flying 200m, scratch, kejar-mengejar berpasukan dan kejar-mengejar individu. - BERNAMA

Berita Harian X