Selasa, 20 Februari 2018 | 12:08am
PELUMBA TSC, Dylan Page (tiga dari kanan) bersama rakan sepasukannya kini berada di Turki bagi menyertai perlumbaan basikal lebuh raya Tour of Antalya.

Page sandaran TSC naiki podium di Turki

KUALA LUMPUR: Team Sapura Cycling (TSC) menyasarkan untuk menang podium dalam perlumbaan basikal lebuh raya Tour of Antalya (22 hingga 25 Februari) dan Tour of Mediterranean di Turki, mulai 2 hingga 5 Mac ini.

Pengurus TSC, Sayuti Zahit berkata pihaknya meletakkan sandaran utama kepada pelumba berasal dari Switzerland, Dylan Page, 24, untuk mencipta kejutan dan meraih podium dalam kedua-dua perlumbaan terbabit. 

Sasaran itu bukan suatu perkara mustahil berdasarkan pretasi semasa Page yang semakin meningkat dan baharu sahaja muncul juara peringkat pertama perlumbaan basikal Tour de Indonesia (Jelajah Indonesia) bulan lalu.

Selain Page, TSC juga menyenaraikan 11 pelumba lain untuk menyertai pelumbaan berkenaan termasuk Jeese Ewart (Australia); Victor Nino dan Jahir Perez (Columbia); Mario Vogt (Denmark) dan Aiman Cahyadi (Indonesia).

Manakala enam lagi pelumba Malaysia membabitkan Muhamad Zawawi Azman; Muhsin Al Redha Misbah; Adiq Husainie Othman;  Izzat Hilmi Abdul Halil, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Akmal Hakim Zakaria.

"Matlamat utama kita menghantar pelumba TSC ke sana adalah untuk memastikan mereka benar-benar bersiap sedia menghadapi saingan pasukan lain pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), mulai 18 hingga 25 Mac depan.

"Kita akan menilai prestasi semua pelumba di Tour of Antalya dan Tour of Mediterranean sebelum menyenarai pendek enam daripada 12 berkenaan untuk mewakili TSC ke LTdL pada Mac nanti," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan senarai muktamad enam pelumba yang bakal mewakili TSC ke Le Tour de Langkawi (LTdL) hanya akan diputuskan selepas pelumbaan Tour of Mediterranean.

Sebagai persiapan awal, TSC menghantar 12 pelumba tempatan dan asing ke Turki untuk menyertai tiga perlumbaan iaitu Grand Prix Alanya (hari ini), Tour of Antalya (22 hingga 25 Februari) dan Tour of Mediterrennean, mulai 2 hingga 5 Mac ini, bagi mengenal pasti enam pelumba terbaik yang bakal bersaing dengan 21 pasukan lain di LTdL 2018. 

Sebelum ini, TSC turut menghantar barisan pelumbanya beraksi di Tour of Indonesia dan Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar bagi memastikan mereka benar-benar bersiap sedia menghadapi saingan perlumbaan LTdL, dari 18 hingga 25 Mac depan. 

LTdL yang membabitkan perlumbaan sejauh 1,341 kilometer (km) itu bakal disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Dimension Data dari Afrika Selatan.

Selain itu, LTdL juga bakal disertai enam pasukan berstatus Pro Continental iaitu Wilier Triestina Selle Italia; Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali; Manzana Postobon (Colombia); CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

Perlumbaan kali ini juga disertai 10 pasukan berstatus International Continental terdiri daripada Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Continental Cycling Team (Thailand).

Pasukan lain ialah 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan) serta empat pasukan tempatan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan pendatang baharu, Forca Amskins Racing.

Berita Harian X