Ahad, 18 Februari 2018 | 11:40pm
SENARAI muktamad enam pelumba yang bakal mewakili TSC akan diputuskan selepas pelumbaan Tour of Mediterrennean di Turki.

TSC umum pelumba ke LTdL selepas 5 Mac

 

KUALA LUMPUR: Senarai muktamad enam pelumba yang bakal mewakili Team Sapura Cycling (TSC) ke Le Tour de Langkawi (LTdL) hanya akan diputuskan selepas pelumbaan Tour of Mediterrennean di Turki, pada 5 Mac nanti.

Sebagai persiapan awal, TSC menghantar 12 pelumba tempatan dan asing ke Turki untuk menyertai tiga perlumbaan iaitu Grand Prix Alanya (hari ini), Tour of Antalya (22 hingga 25 Februari) dan Tour of Mediterrennean, mulai 2 hingga 5 Mac ini, bagi mengenal pasti enam pelumba terbaik yang bakal bersaing dengan 21 pasukan lain di LTdL 2018. 

Sebelum ini, TSC turut menghantar barisan pelumbanya beraksi di Tour of Indonesia dan Kejohanan Lumba Basikal Lebuh Raya Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar bagi memastikan mereka benar-benar bersiap sedia menghadapi saingan perlumbaan LTdL, dari 18 hingga 25 Mac depan. 

Pengurus TSC, Sayuti Zahit berkata pemilihan enam pelumba yang akan mewakili TSC ke LTdL akan dibuat berdasarkan prestasi semasa dan jumlah mata tertinggi berjaya dikumpulkan sehingga pelumbaan Tour of Mediterrennean tamat pada 5 Mac nanti.

"Selepas perlumbaan Tour of Mediterrennean kita akan umumkan nama enam pelumba tempatan dan asing yang bakal dipilih mewakili TSC ke saingan LTdL mulai 18 hingga 25 Mac ini.

"Kita juga berhasrat untuk menghantar mereka yang tidak terpilih ke LTdL untuk menyertai Tour of Taiwan dari 11 hingga 15 Mac nanti," katanya.

LTdL yang meliputi perlumbaan sejauh 1,341 kilometer (km) itu bakal disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Dimension Data dari Afrika Selatan.

Selain itu, LTdL juga bakal disertai enam pasukan berstatus Pro Continental iaitu Wilier Triestina Selle Italia; Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali; Manzana Postobon (Colombia); CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

Perlumbaan kali ini juga disertai 10 pasukan berstatus International Continental terdiri daripada Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Continental Cycling Team (Thailand).

Pasukan lain ialah 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan) serta empat pasukan tempatan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan pendatang baharu, Forca Amskins Racing.

15 dibaca
Berita Harian X