Sabtu, 17 Februari 2018 | 8:37pm
PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (tiga dari kiri) menduduki tempat ketiga pada aksi final Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi. - Foto Eizairi Shamsudin

Azizulhasni sekadar raih gangsa

NILAI: Hajat juara dunia, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas dalam acara keirin musnah apabila sekadar menduduki tempat ketiga pada aksi final Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi. 

Azizulhasni yang digelar The Pocketrocketman terpaksa akur dengan kayuhan bertenaga Tomoyuki Kawabata dari Jepun serta pelumba Korea Selatan, Im Chaebin dalam perlumbaan sengit dan mendebarkan.   

"Agak sedih kerana saya meletakkan sasaran untuk menang. Saya sentiasa mahukan kemenangan apabila menyertai kejohanan besar.   

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih mampu berada di podium dalam aksi final yang sengit ini," kata Azizulhasni yang meraih emas dalam Kejohanan Trek Dunia UCI di Hong Kong tahun lalu.


Azizulhasni Awang bersama pemenang pingat emas Tomoyuki Kawabata (tengah) dari Jepun dan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Chaebin Im (kiri) di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, sebentar tadi.  - Foto Eizairi Shamsudin

Menurutnya, dia bersaing sengit dengan Chaebin tatkala berbaki satu pusingan setengah, namun dipintas Kawabata di selekoh terakhir menuju ke garisan penamat. 

Kawabata muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa 10.174 saat. 

"Saya kena terus ke depan, melupakan perlumbaan ini dan memberikan fokus untuk acara pecut individu esok untuk cuba melakukan masa kurang daripada 10 saat.

"Berdasarkan latihan dan persediaan, ia dalam landasan yang tepat dan jika berjaya melakukannya, ia adalah perkembangan yang bagus menjelang kejohanan besar selepas ini," kata pemenang gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu. 

Terdahulu, Azizulhasni mudah melepasi pusingan pertama selain mempamerkan dominasi meninggalkan pelumba lain pada separuh akhir sehingga mencetuskan pujian ketua jurulatih, John Beasley.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom yang turut mara ke pentas final menamatkan perlumbaan di tempat keempat. 

Berita Harian X