Selasa, 30 Januari 2018 | 6:44pm
PEMAIN THT, Mohd Fitri Saari (kanan) tak mahu rakan sepasukan cari jalan sukar rampas kejuaraan. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

'Jangan cari jalan sukar'

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari tidak mahu rakan sepasukan mencari jalan sukar dalam usaha mereka merampas kejuaraan Liga Perdana daripada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Justeru, Fitri berharap THT tidak mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh apabila bertemu TNB Thunderbolts pada perlawanan kedua terakhir liga esok.

THT kini memimpin liga dengan mengumpul 18 mata, hanya lebih satu mata berbanding KLHC.

Bagaimanapun, berbanding seteru utama itu yang bakal menempuh detik sukar bertemu TNB esok, THT dilihat tidak berdepan masalah menewaskan Thunderbolts.

THT dan KLHC akan membuat perhitungan pada perlawanan terakhir liga, Jumaat ini yang dijangka menentukan pasukan manakah bakal merangkul kejuaraan liga.

"Kami tidak boleh bermain sambil lewa sebab kalau itu berlaku ia akan memberi masalah besar kepada kami.

"Sebab itu kami perlu turun beraksi dengan misi untuk menang. Kalau kami mencicirkan mata, situasi pasti sangat sukar apabila bertemu KLHC pada perlawanan terakhir liga," kata Fitri.

Menurut Fitri, tidak mustahil Thunderbolts cuba mencuri mata kerana skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim itu sudah membuktikan kualiti mereka pada perlawanan liga sebelum ini.

"Rata-rata barisan pemain Thunderbolts masih muda dan mereka menggunakan kelebihan itu untuk cuba mencipta peluang.

"Jadi, kami perlu bermain secara bijak dan tidak memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol," katanya.

_________________________________

- ESOK

KLHC lwn TNB, 5 ptg

(Std Hoki Kuala Lumpur)

TNB Thunderbolts mln THT, 6 ptg

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

UniKL lwn Maybank, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

Berita Harian X