Isnin, 29 Januari 2018 | 10:07pm
PENJAGA gol berpengalaman negara, Roslan Jamaluddin mahu rakan sepasukan terus fokus utama untuk raih kemenangan. - Foto Osman Adnan

Misi wajib menang - Roslan

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) wajib mencatatkan tiga mata penuh apabila bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perlawanan kedua terakhir Liga Perdana, Rabu ini dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Selepas lapan perlawanan, KLHC kini mengumpul 17 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Pasukan Hoki Terengganu (THT) ketika lawan mereka itu dilihat berdepan lawan lebih mudah bertemu TNB Thunderbolts.

KLHC dan THT akan membuat perhitungan pada perlawanan terakhir liga, Jumaat ini yang dijangka akan menjadi penentu pasukan manakah bakal bergelar juara liga.

Menganggap perlawanan bertemu TNB cukup penting, penjaga gol berpengalaman negara, Roslan Jamaluddin tidak mahu rakan sepasukan yang lain lari daripada fokus utama untuk meraih kemenangan.

"Bagi saya perlawanan dengan TNB adalah paling penting dalam saingan liga musim ini kerana ia akan menentukan sama ada kami masih berpeluang untuk muncul juara liga.

"Jika kami meraih keputusan yang tak bagus, ia pastinya akan menjejaskan fokus pada perlawanan terakhir bertemu THT," katanya.

Bagaimanapun untuk menewaskan TNB bukan mudah kerana lawan mereka itu pernah memalukan KLHC apabila mencatat kemenangan 4-2 pada pusingan pertama liga.

"Kami sudah sedar segala kesilapan yang dilakukan ketika itu.

"Banyak faktor mendorong kepada kekalahan itu, antaranya rata-rata pemain kepenatan kerana baru pulang dari Terengganu bertemu THT.

"Kami tidak mahu melakukan kesilapan sama pada perlawanan Rabu ini," katanya.

________________________________________

JADUAL LIGA PERDANA

RABU

KLHC mln TNB, 5 ptg

(Stadium Hoki Kuala Lumpur)

TNB Thunderbolts mln THT, 6 ptg

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

UniKL lwn Maybank, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

Berita Harian X