Jumaat, 26 Januari 2018 | 8:10pm
PENYERANG PKS Uniten-KPT, Nur Zafirah Aziz akui sudah tidak sabar untuk turun berdepan KL Wipers, pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia esok. - Foto Aziah Azmee

Misi Zafirah tamatkan kemarau gol

KUALA LUMPUR: Penyerang PKS Uniten-KPT, Nur Zafirah Aziz mengakui dia sudah tidak sabar untuk turun berdepan KL Wipers, pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia esok dalam usahanya menamatkan kemarau jaringan secepat mungkin.

Zafirah, 20, tidak meledak sebarang jaringan dalam dua aksi pertama liga, statistik yang pasti meletakkan tekanan tinggi ke atas penyerang yang pernah memenangi senarai penjaring terbanyak Piala Razak 2017 itu dengan enam gol buat Kuala Lumpur.

Dia banyak berusaha untuk pasukan, namun masih belum menemui penyudah dalam dua aksi pertama yang berkesudahan PKS Uniten-KPT berpesta gol membelasah Penang Juniors 7-1 dan MSN Kedah, 8-0 dengan aksi ketiga menentang Blue Warriors semalam terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca yang buruk.

"Insya Allah saya menyasarkan untuk menjaringkan gol esok, seboleh-bolehnya saya mahu menamatkan segera (kemarau jaringan).

"Memang agak tertekan apabila rakan-rakan yang lain di bahagian serangan sudah menjaringkan gol, saya perlu bekerja lebih keras untuk pertemuan menentang Kl Wipers," katanya.

Di atas kertas, PKS Uniten-KPT bagaimanapun diletakkan sebagai pilihan berbanding KL Wipers yang belum mencatat sebarang kemenangan, selepas tumbang 0-4 kepada Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), seri 1-1 dengan Penang Juniors dan tewas 0-3 di tangan MSN Kedah.

Namun, Zafirah menjelaskan pasukannya tetap tidak akan mengambil mudah pertembungan itu sambil menamakan duo penyerang KL Wipers, Qasidah Najwa Muhd Halimi dan Hasya Syahida Saifuddin sebagai pemain yang perlu diawasi.

"Kami tidak akan mengambil mudah pertemuan ini. Kena kekal fokus kerana rata-ratanya pemain KL Wipers ini adalah rakan sepasukan saya ketika beraksi untuk Kuala Lumpur dalam Piala Razak 2017.

"Mereka ini muda dan pantas, jadi kami perlu lebih berhati-hati dengan permainan mereka dan mungkin kami perlu mengawasi pergerakan Qasidah dan Hasya sekiranya mahu menang," katanya.

___________________________________________

INFO

JADUAL LIGA HOKI WANITA MALAYSIA

ESOK

PKS Uniten mln Kl Wipers (Std Hoki Bkt Jalil, 5ptg)

UiTM mln TLHT (Std Hoki Bukit Jalil, 8mlm)

Blue Warriors mln MSN Kedah (Std Tun Razak, 5ptg)

Berita Harian X