Rabu, 24 Januari 2018 | 9:51pm
CHEF De Mission (CDM) Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Huang Ying How (kanan) ketika beramah mesra bersama para atlet pasukan gimnastik artistik negara pada sesi lawatan CDM ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 ke sesi latihan dan persiapan para atlet negara di Majlis Sukan Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Tumpu kekuatan mental

KUALA LUMPUR: Lebih kurang tiga bulan sahaja lagi menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, ketua kontinjen negara, Huang Ying How meminta atlet negara memberi penekanan terhadap kekuatan mental berbanding melakukan latihan keras yang akhirnya boleh mendatangkan kecederaan.

"Saya mahu atlet mempunyai mental positif, kuat dan menyertai temasya dengan fizikal yang sihat. Bagi saya, sudah terlewat untuk menekankan aspek teknikal atau kemahiran yang baru kerana tinggal tiga bulan sahaja lagi.," katanya selepas meninjau persiapan atlet gimrama, gimnastik artistik dan ping pong di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Ying How berkata, dia tidak bimbang dengan persiapan yang dilakukan atlet negara ke Sukan Komanwel kerana mereka sudah bersedia lebih awal lagi sejak Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Walaupun gimrama dan gimnastik artistik tidak diletakkan sasaran pingat, beliau tetap mahu gimnas memberikan yang terbaik.

Katanya, skuad ping pong bagaimanapun menyenaraikan tiga atlet lelaki dan empat atlet wanita yang diwakili oleh pemain muda sebagai pendedahan buat mereka.

"Pada temasya sebelum ini (Glasgow 2014), pemain ping pong diletakkan sasaran untuk berada di kelompok enam terbaik tetapi kali ini kita menghantar pemain muda bagi menaikkan semula sukan ping pong," katanya.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) itu berkata, dia juga sering kali mengingatkan atlet untuk berwaspada terhadap isu doping bagi memastikan temasya kali ini sebagai "sifar doping."

Berita Harian X