Selasa, 23 Januari 2018 | 7:30pm
PEMAIN Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC), Meor Muhamad Azuan Hasssan (tengah) cuba melepasi pemain Maybank pada perlawanan KLHC menentang MAYBANK di Liga Hoki Malaysia. - Foto Zunnur Al Shafiq

Peluang KLHC masih terbuka

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan optimis skuad kendaliannya mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Juara bertahan itu ketika ini menduduki tangga ketiga liga dengan lapan mata selepas lima perlawanan, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Namun, berbaki lima perlawanan lagi, Chiow Chuan yakin peluang barisannya mempertahankan kejuaraan masih terbuka luas.

"Selepas beberapa keputusan yang tidak memihak kepada lawan kita sebelum ini, nampaknya peluang kembali terbuka untuk kami.

"Tapi kami juga tidak boleh terlalu mengharapkan ihsan pasukan lain, sebaliknya perlu berusaha sendiri dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

"Bagi memenuhi sasaran itu, maka kami tiada pilihan lain selain perlu menang baki lima perlawanan selepas ini," katanya.

Jelas Chiow Chuan, ia akan bermula dengan perlawanan menentang TNB Thunderbolts esok.

"Walaupun kami menewaskan mereka 7-0 pada perlawanan terakhir, tapi kami sama sekali tidak akan memandang rendah kemampuan Thunderbolts.

"Apapun, kami harus kekalkan momentum kemenangan," katanya.

____________________________________

INFO

ESOK

THT mln UniKL

(Std Hoki Batu Buruk, 5ptg)

TNB Thunderbolts mln KLHC

(Padang 2, Std Hoki Nasional, 6ptg)

Maybank mln TNB

(Padang 2, Std Hoki Nasional, 8.30mlm)

Berita Harian X