Isnin, 22 Januari 2018 | 8:26pm
PEMAIN Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari (kanan) intai peluang untuk muncul penjaring terbanyak liga pada musim ini. - Foto Ghazali Kori

Faizal buru status penjaring terbanyak

KUALA LUMPUR: Penyerang sensasi Pasukan Hoki Terengganu (THT) Faizal Saari masang dua impian iaitu membantu pasukannya meraih kejuaraan liga serta Piala TNB selain mengintai peluang untuk muncul penjaring terbanyak liga pada musim ini.

Selepas lima perlawanan, tonggak utama skuad hoki negara itu sudah meledak enam gol untuk muncul penjaring ketiga terbanyak liga sekali gus menjadi pemain terbaik tempatan ketika ini.

Dia hanya berada di belakang Jeroen Dolf Hertzberger dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan lapan gol serta rakan sepasukan, Gonzalo Peillat, tujuh gol.

"Fokus utama saya pada musim ini adalah untuk membantu pasukan memenangi kejuaraan liga serta mempertahankan Piala TNB.

"Tapi pada sama saya mahu menjadi penjaring terbanyak, saya akan berusaha ke arah itu," katanya.

Menurut Faizal, berbanding tahun lalu, musim ini dia mengakui memiliki 'mood' agak baik untuk mengharungi saingan liga.

"Ini adalah tahun kelima saya bersama THT dan atas sebab itu saya mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan ini.

"Lagipun barisan pemain yang membarisi THT tahun ini semuanya bagus terutamanya pemain import. Sekarang kami semua sudah menemui keserasian," katanya.

begitupun Faizal mengakui sedikit kecewa kerana gagal membantu pasukannya memenangi Piala Tan Sri P Alagendra serta Piala Sumbangsih selepas kedua-duanya tewas kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tempoh hari.

"Kami tak dapat melakukan persiapan rapi pada awal saingan liga. Tapi sekarang saya sudah lupakan kekecewaan itu dan fokus untuk baki perlawanan selepas ini.

"Kami akan bertemu UniKL di Terengganu Rabu ini dan saya harap pasukan dapat mengekalkan rentak kemenangan," katanya.

________________________________

LIGA HOKI MALAYSIA

JADUAL LIGA PERDANA

RABU

THT mln UniKL, 5 ptg

(Std Hoki Batu Buruk, Terengganu)

-----------------------------------------------------

TNB Thunderbolts mln KLHC, 6 ptg

Maybank mln TNB, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

Berita Harian X