Khamis, 18 Januari 2018 | 1:12am
RATU luncur air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah kini memasang impian untuk muncul juara dunia dalam acara trick kategori wanita 17 tahun. - Foto fail

Aaliyah kini buru gelaran juara dunia luncur air

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan menang tiga pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, ratu luncur air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah kini memasang impian untuk muncul juara dunia dalam acara trick kategori wanita 17 tahun ke bawah (B-17) dan terbuka seawal 2020 nanti.

Ketua jurulatih merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong menegaskan, beliau berkeyakinan Aaliyah mampu meraih kejayaan lebih besar dengan muncul juara dunia acara trick wanita dan terbuka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Hanifah yang juga bapa Aaliyah, yakin anak perempuannya yang bakal mencapai umur 15 tahun Julai ini, berpeluang merangkul gelaran juara dunia acara trick bagi kategori wanita B-17 buat pertama kali ketika berusia 17 tahun iaitu pada 2020.

"Sebagai langkah awal, Aaliyah perlu mempamer aksi terbaik dan menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga terbaik keseluruhan dan menaiki podium di Kejohanan Luncur Air Dunia B17 anjuran Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Antarabangsa (IWWF) di Madrid, Sepanyol, pada Ogos nanti.

"Dari situ kita menyasarkan Aaliyah akan muncul juara dunia kategori terbuka pada 2021 dan juara dunia keluruhan pada 2023," katanya yang turut bangga dengan pencapaian Aaliyah yang kini tersenarai sebagai peluncur kedua terbaik dalam acara tricks dan kelima keseluruhan dalam ranking dunia terbaru dikeluarkan IWWF.

Selain Aaliyah, dua adik lelakinya, Adam, 10, dan Aiden, 12, turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam ranking terbaru dikeluarkan IWWF dengan Adam kini menduduki ranking pertama Asia B-17 diikuti Aiden di tempat kedua. Lebih membanggakan, Adam dan Aiden turut menduduki tangga kedua dan ketiga dalam kategori trick terbuka lelaki Asia ketika ini.

Mengulas lanjut, Hanifah berkata, MWWF kini sedang merangka pelan pembangunan dan latihan khusus bagi membantu meningkatkan prestasi semua atlet luncur air dari Malaysia dan menjadikan Aaliyah sebagai rakyat Malaysia dan Asia pertama muncul juara dunia dalam tempoh lima tahun mulai sekarang.

Hanifah juga melahirkan rasa gembira selepas melihat Aaliyah mengecapi kejayaan demi kejayaan setiap tahun tanpa menghadapi sebarang masalah dan tekanan daripada MWWF.

"Pada peringkat awal, Aaliyah mula menunjukkan bakat dan potensinya, kami melakukan perancangan dan sasaran tanpa pengetahuan Aaliyah kerana ketika itu dia terlalu muda untuk menerima tekanan tambahan daripada MWWF.

"Kita berbuat demikian kerana mahu melihat Aaliyah dapat menikmati keseronokan dan mencintai sukan luncur air ini sambil meneruskan minat dan latihannya dan mencapai kejayaan demi kejayaan.

"Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu apabila Aaliyah berusia 12 tahun, dia mula terbabit secara aktif dalam membantu kita menetapkan sasaran. Aaliyah kelihatan amat gembira dan teruja berikutan kejayaannya meraih tiga pingat emas di KL2017 biarpun dia beraksi di bawah tekanan selepas kita menetapkan sasaran awal bahawa dia perlu menang sekurang-kurang dua emas," katanya.

Dalam pada itu, Hanifah berkata, beliau juga berharap usaha IWWF untuk memastikan sukan luncur air dipertandingkan di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England akan membuahkan hasil.

Berita Harian X