Ahad, 14 Januari 2018 | 8:49pm
PASUKAN yang beraksi dalam acara kelas Racing pada hari terakhir muncul juara perlumbaan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 16 di Royal Yacht Club, Kuah. - Foto Luqman Hakim Zubir

RLYC perlu giat promosi RLIR

LANGKAWI: Semua enam gelaran yang dipertandingkan di Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 sudah dimuktamadkan dengan empat pasukan berjaya mengekalkan kejuaraan masing-masing, semalam.

Pasukan dari Thailand, THA72 mengekalkan gelaran buat kali kedua berturut-turut dalam kelas utama Racing manakala wakil Malaysia, Mata Hari yang beraksi dalam kelas IRC1 memastikan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut sejak 2015.

Phoenix dari Jepun pula belayar dengan corak tersendiri, mengungguli kelas IRC2 manakala Tantrum Too (Singapura) mengekalkan gelaran disandang dalam kelas Multihull dan Chantique juara kelas Ocean Rover.

Kejuaraan diraih sudah pasti bakal membakar lebih semangat buat pasukan juara berkenaan untuk kembali mempertahankan kejuaraan tahun depan, namun berdasarkan rekod penyertaan, jumlah penyertaan kali ini tampak berkurangan.

Tahun lalu, sebanyak kira-kira 30 bot menyertai RLIR untuk bertanding dalam lapan kelas berbeza, namun ia berkurangan kali ini di mana hanya 26 pasukan mengambil bahagian.

Jumlah kelas juga berkurangan tahun ini, hanya mempertandingkan enam kelas dan mungkin pihak penganjur, Kelab Kapal Layar Diraja Langkawi (RLYC) perlu mempergiatkan lagi promosi bagi menghangatkan lagi edisi akan datang.

Mungkin RLIR kali ini juga terpalit dengan situasi ekonomi semasa global dan andai ditanya kepada pelayar tempatan atau antarabangsa, mereka jelas gembira dengan penyertaan di RLIR dan menyatakan keinginan untuk terus belayar di sini.

"Kami amat menyukai Langkawi," kata jurumudi pasukan THA72, Tom Whitcraft yang mengemudi pasukan bersama anaknya, Kevin.

"Sudah tentu kami akan kembali ke sini tahun depan untuk mengekalkan kejuaraan," tambah anaknya, Kevin.

Berita Harian X