Khamis, 11 Januari 2018 | 7:57pm
PENJAGA gol negara, S Kumar yakin sedia mendengar FIH selepas positif ujian doping.

Saya sudah bersedia - Kumar

KUALA LUMPUR: "Saya sudah bersedia." Itu luahan penuh keyakinan penjaga gol utama skuad hoki negara, S Kumar mengenai sesi pendengaran Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas positif ujian doping, namun sehingga kini menunggu tarikh yang masih belum dimuktamadkan.

Bagi Kumar, tiada apa yang perlu digusarkan apabila berdepan panel sesi pendengaran itu nanti, kerana dia akan cuba memberi keterangan sebaik mungkin selepas berdepan hukuman penggantungan sementara selama dua tahun ketika ini.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di kejohanan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers muncul naib juara.

"Memang sekarang saya menunggu saja tarikh sesi pendengaran itu. Saya sudah bersedia untuk memberi keterangan berdasarkan apa yang saya ingat sebelum ini.

"Saya bercakap perkara yang benar dan ia mungkin lebih banyak berkisar situasi di Bangladesh. Sebab kalau saya ambil (bahan terlarang) di Malaysia, ia pasti tidak masuk ke dalam badan saya.

"Yang pasti, ia memang di luar pengetahuan saya," katanya.

Jelas penjaga gol yang sudah melakukan 295 penampilan untuk negara itu, ketika ini dia banyak menjalani latihan secara bersendirian.

"Saya ada buat aktiviti fizikal seperti berlari, tetapi tak dapat lakukan latihan penjaga gol kerana tiada orang yang boleh membantu. Lagi pun, memang tiada siapa boleh bantu saya sepanjang tempoh ini.

"Sebab itu saya memang menantikan tarikh sesi pendengaran supaya dapat selesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Penolong Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar sebelum ini menyatakan, Kumar perlu bersedia memberikan bukti serta hujah meyakinkan apabila dipanggil pada sesi pendengaran FIH nanti.

Jelas Nishel, kesemua bukti dan hujah itu akan menjadi pertimbangan untuk meringankan hukuman ke atas Kumar.

Berita Harian X