Khamis, 11 Januari 2018 | 6:11pm
PASUKAN Mata Hari KL Registry dari Malaysia ketika beraksi dalam acara IRC1 pada hari ketiga perlumbaan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 16 di Royal Yacht Club, Kuah. - Foto Luqman Hakim Zubir

Mata Hari mula tunjuk belang

LANGKAWI: Juara bertahan kelas IRC1, Mata Hari kembali menghidupkan peluang untuk memburu gelaran keempat berturut-turut dalam Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 selepas berakhir Pusingan 4, hari ini.

Meskipun menerima tentangan sengit daripada pesaing utama, Char Chan pada dua perlumbaan awal, pasukan kendalian Vincent Chan dilihat kembali menemui rentak diinginkan selepas memenangi Perlumbaan 3, semalam.

Berdasarkan tambahan satu kemenangan yang diraih pada Pusingan 4 hari ini, Mata Hari kini berada di puncak kedudukan keseluruhan kelas IRC1, namun berkongsi enam mata dengan pasukan kendalian Kazuki Kihara itu.

"Char Chan bukan calang-calang pasukan. Mereka pernah menjuarai Piala Raja-Raja (di Thailand) sebanyak lima kali," kata Vincent yang sentiasa berwaspada dengan corak taktikal pesaingnya itu.

"Ini kali pertama Char Chan menyertai regatta di Langkawi dan ketika ini kami berkongsi mata dengan mereka.

"Saya harap pasukan kami dapat mengekalkan posisi selaku juara bertahan di sini sehingga ke penghujung regatta.

"Kami sudah memasuki pertengahan saingan, ada lima lagi perlumbaan dan saya harap kami dapat membanggakan negara."

Mata Hari yang turut disertai pelayar berpengalaman negara, Jeremy Koo mula mendominasi kejuaraan dalam kelas IRC sejak tahun 2015 di RLIR.

Berita Harian X