Khamis, 11 Januari 2018 | 12:43pm
PENJAGA gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Roslan Jamaluddin mahu elak penentuan menerusi pukulan penalti. - Foto Owee Ah Chun

Roslan cuba elak penentuan penalti

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Roslan Jamaluddin berharap pertembungan dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk merebut Piala Sumbangsih esok dapat ditentukan dalam masa permainan sebenar dan keputusan berpihak kepadanya serta rakan sepasukan.

Menurut Roslan, meskipun pasukannya sudah membuktikan kemampuan mereka menewaskan THT menerusi penentuan penalti pada final Piala Tan Sri P Alagendara minggu lalu, bekas penjaga gol skuad negara itu seboleh-bolehnya mengharapkan mereka dapat melakar kemenangan tanpa mengharungi penentuan penalti.

"Memang secara logik kami mahu menang menerusi permainan masa sebenar. Sebab secara peribadi saya berasakan tidak selalu penentuan penalti akan memihak kepada kita.

"Kalau nasib tak baik boleh kalah, kalau ada rezeki boleh menang atau dengan kata lain peluang kedua-dua pasukan untuk menang adalah 50-50," katanya.

Roslan berkata, berdasarkan prestasi di final lalu, dia berasakan KLHC mempunyai kemampuan untuk mencatat kemenangan mutlak pada masa sebenar.

"Tetapi apabila kita tidak cukup pemain di atas padang kerana dikenakan hukuman kad di hujung perlawanan, ia menjejaskan rentak permainan kami dan menyebabkan THT berjaya menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti," katanya.

KLHC tampil selaku juara bertahan Piala Sumbangsih dengan melakar kemenangan menerusi penentuan penalti musim lalu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Esok KLHC akan sekali lagi turun di stadium sama untuk misi mempertahankan piala itu.

"Bagi saya, kami tidak berdepan tekanan yang terlalu tinggi. Walau apapun yang berlaku, kami tetap dengan misi utama untuk mempertahankan Piala Sumbangsih dan cuba memenangi kesemua piala pada musim ini," kata Roslan.

Liga Hoki Malaysia

Piala Sumbangsih

THT mln KLHC, 4.45 ptg

(Std Hoki Batu Buruk)

TNB Thunderbolt mln Maybank, 6.30 ptg

UniKL mln TNB, 8.30 mlm

(Padang 2 Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

Berita Harian X