Rabu, 10 Januari 2018 | 6:52pm
PEMAIN Pasukan Asia dari Malaysia, Nicholas Fung (kiri), bersama rakan sepasukan, S S P Chawrasia (dua kiri) dari India dan Byeonghun An (dua kanan) dari Korea serta Poom Saksansin (kanan) dari Thailand, pada sidang media 'EURASIA Cup' di Glenmarie Golf and Country Club. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Piala EurAsia milik kami: Chawrasia

SHAH ALAM: Bintang golf India, SSP Chawrasia melaungkan keyakinan tinggi betapa Asia mampu menepis ramalan awal Piala EurAsia akan menjadi milik Eropah apabila kedua-dua pasukan turun beraksi di Kelab Golf & Country Glenmarie, Jumaat ini.

Beraksi bagi musim kedua Piala EurAsia, pemenang enam Jelajah Asia itu sudah tidak sabar untuk bertentang mata dengan Eropah yang dibarisi 12 pemain terbaik benua itu.

Chawrasia sebahagian daripada pemain Asia yang tumbang 5.5-18.5 kepada Eropah pada edisi 2016.

Namun kekalahan itu sudah dilupakan pemain berusia 39 tahun itu yang optimis pasukannya kali ini berupaya melakar kejutan selepas belajar daripada pengalaman lalu.

"Secara jujur pasukan kami kali ini lebih kuat jika dibandingkan sebelum ini. Kami semakin membiasakan diri beraksi dalam acara berpasukan kerana pengalaman lalu di Piala EurAsia dan saya rasa saya mampu melakukan yang terbaik.

"Kami tampil dengan barisan pemain terbaik. Pasukan Eropah sememangnya kuat tapi kami juga tidak kurang hebatnya dan saya percaya kapten Asia, Arjun Atwal mampu memimpin kami melakar kejayaan kali ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sejak dianjurkan pada 2014, Asia belum pernah muncul juara mutlak Piala EurAsia selepas hanya berkongsi gelaran itu pada edisi sulung apabila seri 10-10 sebelum tumpas besar pada edisi berikutnya dua tahun kemudian.

Namun, edisi ketiga kali ini mungkin dianggap sebagai waktu paling sesuai buat Asia membawa pulang gelaran itu atas faktor tampil dengan barisan pemain yang mempunyai ranking dunia baik selain kehadiran tiga pemain berpengalaman Kiradech Aphibarnrat, Anirban Lahiri dan Nicholas Fung yang sudah membuat tiga penampilan dalam kejohanan itu.

Selain tiga pemain itu, Asia juga menyenaraikan An Byeong Hun dan Kang Sung Hoon (Korea Selatan), Gavin Green (Malaysia), Yuta Ikeda dan Hidato Tanihara (Jepun), Phachara Khongwatmai dan Poom Saksansin (Thailand), Chawrasia (India) dan Li Haotong (China).

Berita Harian X