Selasa, 9 Januari 2018 | 10:00pm
PEMAIN THT, Mohd Fitri Saari (kanan) mengasak pemain KLHC dalam saingan Piala Tan Sri P Alagendra di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kalah kepada KLHC beri pengajaran

KUALA LUMPUR: Kekalahan kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam saingan Piala Tan Sri P Alagendra nyata memberi pengajaran cukup bermakna kepada pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh.

Jelas sekali kehadiran nama besar seperti Gonzalo Peillat bukan jaminan untuk gergasi Pantai Timur itu menjulang piala sebaliknya Sarjit mengakui, faktor keseimbangan dalam pasukan lebih penting seperti dibuktikan KLHC.

Malah, Sarjit percaya jika tidak kerana pemergian Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil dan Firhan Ashari ke TNB, pasukannya mungkin lebih seimbang menjelang pertemuan Piala Sumbangsih menentang KLHC di Kuala Terengganu, Jumaat ini.

"Kita kehilangan dua pemain yang bagus (Firhan dan Tengku), jadi untuk tahun ini kami terpaksa bawa ramai pemain muda seperti Firdaus Omar dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran.

"Daripada aksi tempoh hari, saya melihat apa yang membezakan kami dengan KLHC adalah kerana mereka mempunyai pasukan yang lebih seimbang selepas diperkuatkan kehadiran enam pemain import dan lapan pemain negara selain beberapa bekas pemain negara.

"Macam THT, kami hanya mempertaruhkan tiga pemain negara bersama enam import sekali gus menyaksikan kelebihan tampak memihak mereka daripada segi penggiliran pemain dan sebagainya," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.


PENGENDALI THT, Sarjit Singh (kanan) mengakui, faktor keseimbangan dalam pasukan lebih penting seperti dibuktikan KLHC. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Selain tiga bintang negara - Faizal Saari, Fitri Saari dan Mohd Hafizuddin Othman serta enam pemain import, THT juga bergantung harap kepada pengalaman dua bekas pemain kebangsaan iaitu Azlan Misron dan Shahrun Nabil Abdullah.

Namun, ia tidak cukup untuk menafikan KLHC daripada merangkul gelaran sulung Piala Tan Sri P Alagendra Ahad lalu apabila tumpas 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi permainan sebenar.

Begitupun, KLHC harus lebih berwaspada kali ini kerana THT bakal mendapat semula khidmat penyerang import Argentina, Lopez Barreiros yang tidak turun dalam pertembungan terakhir kerana masalah kecederaan di bahagian kepala.

"Kali ini kami tidak boleh tumbang di laman sendiri selepas nasib tidak begitu menyebelahi kami sebelum ini termasuk bola dua kali terkena palang dan mempersia-siakan peluang mendahului dengan kelebihan dua gol dalam penentuan penalti.

"Memang rugi tewas pada aksi final Piala Tan Sri P Alagendra kerana daripada ketiga-tiga piala dipertandingkan, ia menawarkan peluang paling mudah kerana kami mendapat bye di pusingan awal dan undian mudah di suku akhir dan separuh akhir."

Jadual Liga Perdana TNB

Jumaat

THT mln KLHC

Std Hoki Batu Buruk, 4.45ptg

TNB T'bolts mln Maybank

Std Nasional Bkt Jalil, 6.30ptg

UniKL mln TNB

Std Nasional Bkt Jalil, 8.30mlm

Berita Harian X