Isnin, 8 Januari 2018 | 11:49pm
SUASANA senja di Royal Yacht Club, Kuah yang akan menjadi lokasi Regatta Langkawi Diraja Antarabangsa ke 16 bermula 8 hingga 13 Januari 2018. - Foto uqman Hakim Zubir

Tiupan angin tiga penjuru bakal hangatkan RLIR

LANGKAWI: Tiupan angin dari tiga penjuru bakal menghangatkan lagi Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 yang dijadual membuka tirainya di perairan Langkawi, esok.

Berdasarkan pengamatan prinsipal perlumbaan, Simon James, dia menjangkakan keadaan berkenaan bakal memberi saingan yang lebih mencabar berbanding edisi sebelum ini.

"Pada hari ini (sesi pemanas badan), kami menghadapi tiupan angin daripada tiga arah berbeza pada waktu sama," katanya ketika sesi bersama media, hari ini.

"Semua bot bergerak ke arah lain, jadi ia pastinya lebih mencabar kali ini."

Tahun lalu, Pusingan 3 RLIR terpaksa dibatalkan berikutan kurang tiupan angin sekali gus memaksa peserta menunggu hampir lima jam sebelum pihak penganjur mengambil keputusan membatalkan perlumbaan pada hari berkenaan.

Bagi edisi ke-16 kali ini, sebanyak 26 bot membabitkan kira-kira 100 pelayar dari seluruh dunia bakal berentap merebut gelaran dalam tujuh kelas dipertandingkan.

Juara bertahan dalam kelas utama RLIR - Racing - Don Whitcraft yang mengemudi pasukan THA72 kembali dengan misi memburu gelaran keduanya di Langkawi.

Wakil tempatan dalam kelas IRC1, Vincent Chan yang mengepalai Mata Hari juga sedang mengintai gelaran keempat berturut-turut dalam kelas IRC1.

Berita Harian X