Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:04pm
PASUKAN THA72 menjuarai bagi kategori kelas utama RLIR Racing tahun lalu. - Foto fail

RLIR: Hairolnizam sasar kemudi Zuhal ke kelompok tiga terbaik

KUALA LUMPUR: Biarpun masih baharu mengemudi pasukan, namun Hairolnizam Hat berazam untuk membawa bot Zuhal berada dalam kelompok tiga terbaik pada edisi ke-16 Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2018 yang dijadual bermula Isnin ini.

Hairolnizam yang mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal berentap dalam kelas utama, Racing bagi merebut Piala Cabaran Perdana Menteri.

"Musim 2018 adalah kali kedua saya diberi kepercayaan ini," kata Hairolnizam. "Bagi saya, saingan kali ini agak sengit dan kami akan berwaspada dengan setiap pesaing,"

Tahun lalu, Don Whitcraft yang mengemudi bot THA72 menjuarai kelas utama RLIR Racing, manakala pasukan tempatan, Mata Hari KL Registry yang dikemudi Vincent Chan muncul juara kelas IRC1.

Selain kelas Racing dan IRC1, lima lagi kelas perlumbaan kali ini ialah IRC2, Club Cruising, MIRultihull, Ocean Rover dan White Sail.

Setakat ini, lebih 20 bot dari seluruh dunia membabitkan kira-kira 100 pelayar sudah pun mengesahkan penyertaan untuk beraksi selama seminggu di perairan Langkawi.

Mengulas mengenai krew, Hairolnizam menegaskan, kebanyakan anak buahnya masih baharu, namun mereka tidak mempunyai masalah dalam mencari elemen persefahaman yang menjadi faktor utama dalam setiap perlumbaan.

"Walaupun masih dalam proses mengenali antara satu sama lain, namun kami tahu tugas masing-masing dan bagi saya, ia bukan satu masalah untuk mencari persefahaman yang diinginkan," katanya.

Berita Harian X