Jumaat, 5 Januari 2018 | 5:58pm
PENGENDALI Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj tuntut penjaga gol importnya, David Harte peraga kehebatan. - Foto fail

Arul harap Harte bawa UniKL ke final

KUALA LUMPUR: Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj menuntut kecemerlangan penjaga gol importnya, David Harte menjelang pertemuan separuh akhir Piala Tan Sri P Alagendra bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) esok.

Diiktiraf selaku penjaga gol terbaik dunia selama dua tahun berturut-turut, bintang dari Ireland itu setakat ini belum benar-benar diuji selepas dua perlawanan.

Bagaimanapun pertemuan dengan KLHC esok dilihat umpama buku bertemu ruas kerana lawan mereka itu juga mempunyai barisan pemain berkualiti termasuklah pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun yang pastinya akan cuba menewaskan Harte.

Jong Hyun adalah penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM) musim lalu ketika beraksi bersama Terengganu Hockey Team (THT).

"Sudah tentu saya menjangkakan kali ini Harte akan diuji. Dia seorang pemain yang matang serta mempunyai keyakinan tinggi. Kehadirannya bukan saja dapat membantu di benteng terakhir, malah dia menambahkan keyakinan kepada rakan sepasukan lain untuk bermain dengan lebih baik," kata Arul.

Menurut bekas penolong jurulatih skuad negara itu, sasaran selepas ini adalah untuk menewaskan KLHC sekali gus mara ke pentas final Piala Tan Sri P Alagendra buat kali pertama.

"Dengan kehadiran pemain import bertaraf dunia, kami harap dapat menyaingi KLHC dan THT. Sudah tentu sasaran selepas ini adalah untuk memenangi perlawanan separuh akhir dan mara ke final," kata Arul yang memiliki pasukan lebih seimbang berbanding edisi lalu.

Jadual perlawanan

Esok

Separuh akhir

UniKL mln KLHC, 6 ptg

THT mln Thunderbolt, 8 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

11 dibaca
Berita Harian X