Rabu, 3 Januari 2018 | 4:26pm
PENGERUSI Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sedia kemudahan baru iaitu makmal ais di mana atlet yang mengalami kecederaan dapat menjalani pemulihan dalam masa lebih singkat. - Foto Owee Ah Chun

Program Podium sediakan kemudahan kelas pertama

KUALA LUMPUR: Memasuki tahun ketiga Program Podium diwujudkan, tahun ini menyaksikan 146 atlet yang tersenarai bakal menerima kemudahan kelas pertama disamping elaun yang 'mencukupi'.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, pada tahun ini ISN menambah kemudahan baru iaitu makmal ais di mana atlet yang mengalami kecederaan dapat menjalani pemulihan dalam masa lebih singkat.

"Makmal ais adalah kemudahan terkini yang kami sediakan di mana proses pemulihan dapat dijalankan lebih cepat. Contohnya kecederaan seperti terseliuh kaki.

"Kami akan melihat apa lagi kemudahan dalam dunia ini yang boleh diguna pakai di ISN. Jika dibawah bajet, kami akan membelinya untuk kegunaan atlet," katanya.

Abdul Azim berkata, kemudahan di ISN adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga antara yang terbaik di Asia dan perkara itu diakui oleh pengunjung dari luar.

Selain daripada berperanan dalam aspek perubatan dan pemulihan, Abdul Azim berkata, ISN hanya perlu memasukkan aspek pemakanan bagi menjadikan ISN institusi yang lengkap dalam penggunaan sains sukan.

Mengenai elaun atlet, Abdul Azim berkata, elaun yang diberikan kepada atlet adalah 'mencukupi' dan bergantung kepada prestasi serta 'senioriti' atlet itu.

"Atlet diberi tempat tinggal jika mereka tidak mempunyai penginapan, makan juga disediakan percuma daripada sarapan pagi, makan tengahari, makan malam malah juga minum petang. Mereka juga disediakan pengangkutan berserta pemandu jika mereka perlu ke latihan di stadium.

"Semua sudah disediakan sebab itu elaun yang mereka peroleh itu kelihatan tinggi kerana mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan harian. Kalau prestasi mereka meningkat maka adalah peningkatan elaun," katanya yang enggan menyebut angka sebenar elaun diterima atlet Podium.

Katanya, ratu skuasy negara Datuk Nicol David yang tinggal di Amsterdam dan juga jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang yang menjalani latihan di Melbourne semuanya menikmati pembiayaan daripada ISN daripada segi duit penginapan serta lain-lain.

"Jika mereka dapat RM20,000 sebulan itu betullah, bukan mereka yang dapat. Kita membayar sewa rumah, jurulatih dan juga lain-lain," katanya.

Dikhabarkan, atlet Program Podium menerima elaun serendah RM3,500 sebulan bergantung kepada prestasi dan senioriti masing-masing.

Prosedur pemilihan atlet, Abdul Azim sekali lagi menjelaskan proses itu bermula dengan pencalonan oleh badan sukan kebangsaan (NSA) masing-masing sebelum melalui beberapa proses yang membabitkan banyak pihak termasuklah Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum disenaraikan dalam proses yang dilakukan pada setiap enam bulan.

"Semua profail atlet akan diperiksa dan apabila semua pihak bersetuju baru dimasukkan. Kalau dua tiga orang kata tak boleh, maka tak dapat," katanya.

Katanya, perkara itu juga turut membabitkan atlet yang digantung berikutan positif kes doping yang mana menyebabkan atlet terbabit digugurkan daripada Program Podium.

"Seperti Wendy Ng (terjun) dan S Kumar (hoki), jika 'edah' mereka habis, kita akan lihat kembali sama ada mahu disenaraikan semula atau tidak. Itu pun selepas NSA masing-masing mengemukakan permohonan," katanya.

Berita Harian X