Khamis, 14 Disember 2017 | 1:12pm
BEKAS juara heavyweight dunia, Tyson Fury (kanan) menewaskan Wladimir Klitschko untuk merangkul tali pinggang WBA, IBF dan WBO pada November 2015. - Foto AFP

Fury 'cetus pergaduhan' sebaik kembali

LONDON: Bekas juara heavyweight dunia, Tyson Fury menyatakan dia mungkin akan menyambung lesen dengan organisasi lain selepas percaya Jawatankuasa Kawalan Tinju British (BBBC) melayan dia dengan buruk ketika didakwa oleh Anti-Doping UK (UKAD) pada Jun 2016.

Fury, yang didapati positif steroid pada Februari 2015, menamatkan penggantungannya semalam untuk kembali meneruskan karier selepas bersetuju dengan penggantungan yang dikenakan sejak dua tahun lalu.

Lesen peninju Britain itu ditarik semula BBBC pada Oktober lalu dan Fury berkata, dia kini mempunyai beberapa pilihan dalam usahanya kembali beraksi.

"Siapa tahu, saya mungkin tidak kembali bersama Jawatankuasa Kawalan Tinju British selepas melihat bagaimana cara mereka menangani isu ini," kata Fury menerusi video Instagram yang kemudiannya dipadamkan.

"Jadi anda jangan fikir saya pasti kembali bersama anda. Kerana saya mempunyai beberapa tawaran daripada organisasi lain yang sanggup menerima Gypsy King."

Fury, 29, yang mempunyai rekod kemenangan 25-0, muncul pemenang tali pinggang WBA, IBF dan WBO dengan menumbangkan Wladimir Klitschko pada November 2015. - Reuters

Berita Harian X