Rabu, 13 Disember 2017 | 6:38am
PENINJU Britain, Tyson Fury (kanan) ketika bertemu peninju Ukraine, Wladimir Klitschko untuk merebut tali pinggang WBA, IBF dan WBO di Arena Esprit, Jerman, dua tahun lalu. - Foto AP

Fury lega lepasi 'igauan'

LONDON: Bekas juara heavyweight dunia, Tyson Fury mengakui lega bebas daripada 'igauan' apabila dibenarkan meneruskan kembali karier tinjunya selepas menjalani penggantungan dua tahun akibat kesalahan doping semalam.

Agensi Anti Doping UK (UKAD) menerusi satu kenyataan berkata, Fury yang didakwa atas kesalahan itu pada Jun 2016 selepas diuji positif steroid pada Februari 2015 akan menamatkan penggantungannya hari ini.

Fury yang kali terakhir beraksi dua tahun lalu apabila menumbangkan Wladimir Klitschko untuk merangkul tali pinggang WBA, IBF dan WBO menyalahkan kegagalan ujian itu berikutan kesilapannya memakan haiwan liar.


TYSON Fury dibenarkan meneruskan kembali karier tinjunya selepas menjalani penggantungan dua tahun akibat kesalahan doping semalam. - Foto AFP

Pertuduhan kedua ke atas Fury pula dibuat kerana didakwa gagal menyerahkan sampel pada September 2016, bagaimanapun ditarik balik.

Sepupu Fury, Hughie yang juga seorang peninju heavyweight turut menjalani penggantungan itu selepas didapati positif pada Februari 2015.

Tyson, 29, yang mempunyai rekod kemenangan 25-0, mengeluarkan kenyataan mahu menjulang kembali gelaran itu.


TYSON Fury mempunyai rekod kemenangan 25-0, mengeluarkan kenyataan mahu menjulang kembali gelaran itu. - Foto AFP

"Saya seorang pejuang dan tidak pernah tunduk kepada sesiapa dalam hidup saya dan jelas sekali tidak akan mengalah disebabkan perkara ini," katanya.

"Saya dan Hughie mengekalkan rekod bersih sejak hari pertama dan kini kami gembira kerana segala-galanya sudah selesai dengan UKAD dan tidak lagi dituduh mengambil dadah.

"Kini saya boleh melupakan igauan dua tahun lalu. Tahun depan saya akan kembali mempamerkan aksi terbaik, lebih baik daripada sebelumnya dan sedia untuk menjulang gelaran dunia yang sememangnya menjadi hak saya. Sudah tiba masanya untuk kembali berjuang." - Reuters

Berita Harian X