Rabu, 13 Disember 2017 | 12:29am
AKSI Johor (biru) menentang Selangor (merah) pada Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun (B-14) TNB-1Mas di Stadium Hoki Bukit Jalil. - Foto Khairul Azry Bidin

Pahang, Johor berentap awal Hoki B-14 TNB-1Mas

KUALA LUMPUR: Finalis tahun lalu bagi kategori lelaki Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun (B-14) TNB-1Mas, pasukan Pahang dan Johor akan berentap seawal peringkat kumpulan Y.

Ini selepas undian yang dijalankan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi bagi menentukan kedudukan pasukan dalam saingan X-Y, menyaksikan Pahang, Sabah dan Johor diundi dalam satu kumpulan iaitu Y.

Selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan, pasukan Pahang, Perak dan Sabah muncul selaku juara peringkat kumpulan sementara Johor, Perlis dan Kuala Lumpur naib juara bagi kategori lelaki.

Pada aksi di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan, Jalan Pantai menyaksikan Pahang, Melaka dan Pulau Pinang muncul juara peringkat kumpulan manakala Terengganu, Selangor serta Kuala Lumpur menamatkan aksi peringkat kumpulan selaku naib juara.

Keputusan juara dan naib juara bagi kategori lelaki serta perempuan membawa pasukan berkenaan untuk beraksi di pusingan kedua atau saingan Kumpulan X-Y.

Berdasarkan undian yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bagi kategori lelaki, pasukan Perak, Perlis dan Kuala Lumpur diundi untuk berada dalam Kumpulan X, manakala Pahang, Sabah serta Johor diundi untuk meneruskan saingan kumpulan Y.

Bagi kategori perempuan pula, juara kumpulan B, pasukan Melaka, Kuala Lumpur dan Terengganu akan berentap dalam kumpulan X manakala juara kumpulan A, pasukan Pulau Pinang serta juara kumpulan C, Pahang dan Selangor akan beraksi dalam kumpulan Y bagi meneruskan impian mereka untuk menempah slot ke separuh akhir dan seterusnya mengejar perlawanan akhir.

Mengulas mengenai undian, pengendali Pahang, Mohd Sufian Mohamad tidak mahu memikirkan tentang aksi final tahun lalu yang menemukan negeri pantai timur itu dan Johor serta menganggap tidak adil untuk membuat perbezaan kerana pemain silih berganti.

"Jika ingin membuat perbandingan dengan tahun lalu saya berasa tidak adil kerana pemain yang beraksi tahun ini kebanyakan tidak beraksi pada tahun lalu.

"Pun begitu, saya melihat Johor dan Sabah sebagai pasukan yang kuat kerana mereka sudah membuktikannya ketika peringkat kumpulan.

"Saya ada mengkaji permainan mereka dan apa yang boleh saya katakan, Pahang akan bermain bermati-matian untuk mara ke peringkat separuh akhir," kata Sufian.

Sementara itu, bagi pengendali naib juara tahun lalu Johor, Mohamad Nor Hafiq Abdul Gaffar pula menyifatkan aksi di saingan X-Y lebih terbuka.

Katanya, pasukan yang bijak untuk menggunakan peluang dimiliki bakal memperoleh kemenangan.

"Bagi saya persaingan di peringkat X-Y adalah terbuka dan semuanya bergantung kepada pasukan masing-masing. Jika bijak untuk mengambil peluang yang dimiliki, kemenangan bakal berpihak kepada mereka dan begitu juga sebaliknya.

"Kami akan bertemu dengan Sabah untuk perlawanan pertama dan saya mahu melihat terlebih dulu aksi yang bakal ditampilkan oleh Pahang dan Sabah sebelum boleh mengatur strategi kerana setiap pasukan mencari kemenangan dan siapa bijak mereka akan berjaya," kata NorHafiq.

Jadual perlawanan kategori lelaki hari ini:

Penentuan kedudukan ke-13 hingga ke-15: Melaka mln Kedah, 7pg

Penentuan kedudukan ke-10 hingga ke-12: Pulau Pinang mln Terengganu, 8.30pg

Penentuan kedudukan ketujuh hingga kesembilan: Kelantan mln Negeri Sembilan, 4ptg

Kumpulan X: Perak mln Perlis, 5.30ptg

Kumpulan Y: Pahang mln Sabah, 7mlm

Jadual perlawanan kategori perempuan, hari ini:

Penentuan kedudukan ke-10 hingga ke-12: Kedah mln Negeri Sembilan, 7.30pg

Penentuan kedudukan ketujuh hingga sembilan: Perlis mln Perak, 9pg

Kumpulan X: Melaka mln Kuala Lumpur, 3ptg

Kumpulan Y: Pulau Pinang mln Pahang, 5ptg

17 dibaca
Berita Harian X