Jumaat, 24 November 2017 | 9:03pm
KETUA jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen (kiri) kekal muka lama dalam senarai 24 pemain yang diserap ke dalam Program Podium. - Foto Oleh Naqib Nor Said

Tiada kejutan daripada Stephen

KUALA LUMPUR: Stephen Van Huizen menepati janjinya apabila mengekalkan muka lama dalam senarai 24 pemain yang diserap ke dalam Program Podium di samping empat pelatih tambahan.

Dalam senarai diumumkan Institut Sukan Negara (ISN) sebentar tadi, cuma ada satu kejutan berlaku apabila penyerang skuad Projek 2016, Norsyafiq Sumantri yang prestasinya dilihat tenggelam timbul diselit ke dalam program elit negara itu.

Seorang lagi penyerang, Firhan Ashari turut kembali semula ke pangkuan pasukan selepas terlepas dua kejohanan utama iaitu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Piala Asia gara-gara kecederaan.

Jika diteliti, cuma penyerang Rashid Baharom digugurkan daripada barisan 24 pemain terbaik itu.

Stephen berkata, semua 24 pemain itu adalah antara yang terbaik sekali gus berharap mereka mengalas tanggungjawab dengan sebaiknya selain memanfaatkan peluang yang diberikan.

"Ini nama yang diberikan oleh pihak kami dan pihak pengurusan Program Podium menerima semua 24 pemain tersebut.

"Semua 24 pemain itu sudah berada dalam kem latihan skuad kebangsaan sebelum ini, malah mereka akan mengalas tugas untuk beberapa kejohanan besar tahun depan.

"Sekiranya mereka mengalami kecederaan sepanjang tempoh berada dalam Program Podium, pemain berkenaan akan diberikan rawatan pakar sehingga pulih dan bukannya disingkirkan dengan begitu mudah," kata pengendali berusia 58 tahun itu.

Majoriti senarai 24 pemain yang diserap ke dalam Program Podium itu adalah antara mereka yang membantu Malaysia meraih tempat kedua dalam kempen Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Ia juga buat kali pertama acara berpasukan disenaraikan dalam program itu sekali gus menyaksikan hoki mencatat jumlah atlet teramai disenaraikan.

Dalam pada itu, Stephen turut memberitahu terdapat empat lagi tambahan pemain disenaraikan oleh skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan membabitkan 24 pemain Program Podium sedia ada.

Mereka ialah pertahanan Najib Abu Hassan, Luqman Nul Hakim Ahmad Syukran (pertahanan), Ashran Hamsani (tengah) dan Sufi Ismat Rohulamin (tengah). Keempat-empat pemain itu adalah bekas pemain Skuad Projek 2016.

Bagaimanapun, empat pemain tambahan itu tidak akan berada di bawah seliaan Program Podium, sebaliknya segala perbelanjaan atau elaun membabitkan mereka diuruskan oleh MHC dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Program Podium akan memulakan segala perancangan mereka pada 1 Januari 2018 dengan tumpuan diberikan kepada dua temasya besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018.

Info

Senarai 24 pemain Program Podium

Penjaga Gol: S Kumar, Mohd Hafuzuddin Othman, Hairi Abd Rahman

Pertahanan: Razie Rahim, Izad Hakimi Jamaluddin, Faiz Helmi Jali, Sukri Mutalib, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Najmi Farizal Jazlan, Amirol Aideed Mohd Arshad

Tengah: Fitri Saari, Marhan Jalil, Meor Muhamad Azuan Hassan, Azri Hassan, Joel Van Huizen, Nabil Fiqri Mohd Noor

Penyerang: Firhan Ashaari, Faizal Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil, Haziq Samsul, Muhamad Ramadan Rosli, Norsyafiq Sumantri

Senarai empat pemain tambahan

1. Sufi Ismat Rohulamin (tengah)

2. Najib Abu Hassan (pertahanan)

3. Ashran Hamsani (tengah)

4. Luqman Nul Hakim Ahmad Syukran (pertahanan)

Berita Harian X