Ahad, 19 November 2017 | 12:48pm
PEMENANG larian Educity Sundown Marathon Iskandar 2017 bergambar bersama.

Mohamad Izam ungguli Educity Sundown Marathon Iskandar

KUALA LUMPUR: Pelari negara, Mohamad Izam Shah Zainal Abidin cemerlang apabila mendominasi kategori marathon lelaki pada larian Educity Sundown Marathon Iskandar 2017, dengan catatan masa 3'23:03 di Iskandar Puteri, Johor.

Lebih membanggakan, dia berjaya mengatasi dua pelari Britian, Henry De Renzy-Martin dan Christopher Timms selepas menamatkan saingan minggu lalu yang berlangsung pada waktu malam. Kedua-dua pesaing utama Mohamad Izam itu sekadar menamatkan saingan di tangga kedua dan ketiga.

"Berlari pada waktu malam dan dengan semangat tinggi daripada peserta lain membuatkan maraton kali ini lebih bermakna. Saya akui, perlumbaan ini istimewa dan menarik kerana dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Village Race.

"Saya pasti akan menyertai lagi acara Sundown Maraton pada masa akan datang," kata Mohamad Izam.

Sementara itu, seorang lagi peserta negara, Esther Yong Keow Lee memenangi acara maraton penuh wanita selepas menamatkan larian dengan catatan 04:20:11.

Rakan senegara, Tan Hong Wee di tempat kedua, manakala Aileen Ho dari Singapura di tangga ketiga.

"Laluan larian sangat menyeronokkan dan ini membuatkan saya bermotivasi untuk meneruskan larian. Berlari pada waktu malam dengan udara yang nyaman turut membantu menenangkan fikiran selain memberi fokus dalam menamatkan larian," kata Esther.

Berita Harian X