Selasa, 7 November 2017 | 8:03pm
JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang (tengah) ketuai senarai pelumba trek bagi menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Azizul ketuai senarai 15 pelumba trek

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyenaraikan jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang mengetuai 15 pelumba trek untuk dipertimbangkan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan.

Menurut Naib Presiden PKBM, Amarjit Singh Gill, senarai berkenaan adalah bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai, Sukan Komanwel dan Asia.

"Kami gembira apabila cadangan 15 pelumba dipersetujui MSN sepenuhnya. Ia adalah bagi menghadapi beberapa kejohanan besar tahun depan dan kombinasi pelumba yang tersenarai dalam Program Podium serta program di bawah kendalian MSN," katanya.

Bagaimanapun Amarjit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Trek PKBM menjelaskan ia adalah senarai awal dengan kata putus bagi setiap kejohanan bergantung kepada pemilihan yang dilakukan serta kelulusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Selain The Pocketrocketman, 10 lagi pelumba lelaki adalah Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Shariz Efendi Mohd Shahrin, Muhammad Khairil Nizam Rasol yang menjalani latihan bersama ketua jurulatih negara, John Beasley di Melbourne.

Turut tersenarai adalah pemenang emas acara scratch Sukan SEA 2017, Irwandie Lakasek selain Eiman Firdaus Mohd Zamri, Afiq Huznie Othman, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Muhammad Daniel Haikkal Edy Suhaidee dan Muhammad Nur Aiman Rosli.

Fatehah Mustapa mengetuai senarai empat pelumba wanita bersama Farina Shawati Mohd Adnan, Anis Amira Rosidi dan Jupha Somnet.

Kalendar sukan berbasikal trek negara agak padat bermula Februari tahun depan dengan saingan trek ACC di Velodrom Nasional pada Februari disusuli Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Ogos berlangsungnya Sukan Asia di Indonesia.

Berita Harian X