Rabu, 18 Oktober 2017 | 7:08pm
ATLET angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad akui tertekan apabila tumpuan raih emas disandarkan kepadanya.

Azroy tertekan jadi harapan tunggal angkat berat

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mengakui tertekan enam bulan menjelang temasya Sukan Komanwel Gold Coast apabila tumpuan meraih emas kini terarah kepadanya.

Selepas nasib Hafifi Mansor masih samar apabila digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana gagal ujian doping, Azroy menjadi harapan tunggal negara untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian satu emas, satu perak dan satu gangsa di Gold Coast, Australia nanti.

Berdasarkan ranking, Azroy berpeluang cerah untuk meraih emas dalam kategori 56 kilogram namun atlet berusia 23 tahun itu sedar apa saja mungkin berlaku dengan angkat berat antara sukan yang mampu mengundang kecederaan.

"Harapan untuk emas sebelum ini disandarkan kepada Hafifi tapi dia sekarang tidak ada jadi tumpuan terarah kepada saya," kata Azroy yang kini di bawah Program Podium.

"Saya tahu saya perlu bekerja keras tapi dalam sukan ini apa saja mungkin berlaku terutamanya kecederaan, jadi saya perlu lebih berhati-hati. Itu yang membuatkan saya sedikit tertekan dan juga bimbang.

Terdahulu IWF mengarahkan sampel air kencing sembilan negara, termasuk China dan Kazakhstan, yang mencatat 10 kes positif doping apabila sampel air kencing atlet dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 untuk diuji semula.

Mengulas berkenaan kemelut itu, pemenang dua pingat emas Kejohanan Angkat Berat Negara Komanwel di Melbourne dan Gold Coast itu berkata, dia yakin dengan status dirinya yang 'bersih'.

Semalam Azroy antara dua atlet angkat berat yang hadir menjalani ujian doping yang diadakan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

"Tiada apa yang perlu dirisaukan. Saya menjalankan ujian seperti yang diminta. Jika kita tidak melakukan kesalahan tidak perlu takut," katanya yang mencatat rekod terbaik peribadi di Sukan SEA lalu dengan jumlah angkatan 258kg.

Berita Harian X