Jumaat, 22 September 2017 | 4:54pm
SKUAD tenpin boling negara memperagakan pingat emas yang diperoleh pada acara (TPB1+TPB2+TPB2+TPB3 Team Mixed) dan (TPB8+TPB9+TPB9+TPB10 Team Mixed) Tenpin Bowling, Sukan Para Asean KL2017 di Sunway Mega Lines, Sunway Pyramid. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Para KL2017: Pencapaian luar biasa skuad boling negara

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad tenpin boling, Steven Teng menyifatkan pencapaian atlet negara meraih 11 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) cukup luar biasa.

Walaupun gagal mencapai sasaran 13 emas yang ditetapkan, dominasi yang ditunjukkan atlet negara sepanjang temasya dwitahunan itu sesuatu yang perlu dibanggakan dengan memenangi 11 daripada 18 emas ditawarkan.

"Sebelas emas, sembilan perak dan empat gangsa, apa lagi yang saya boleh minta dengan wira-wirawati kita semua? Kita sasarkan 13 emas tetapi kita kurang dua.

"Namun kita bangkit untuk mendapatkan 11 emas maksimum dengan kita berjaya memenangi semua empat emas yang tinggal pada dua hari terakhir.

"Dengan pencapaian ini kita berjaya memenangi 60 peratus emas ditawarkan menyamai pencapaian di Singapura dua tahun lalu.

"Apa pun saya tetap percaya kita boleh lebih baik dengan sekarang fokus adalah persiapan untuk Sukan Para Asia tahun depan," kata Steven.

Malaysia menutup tirai saingan pada hari terakhir dengan menyapu bersih dua emas yang ditawarkan apabila mendominasi acara berpasukan campuran B1/B2/B2/B3 dan B8/B9/B9/B10.

Skuad dibarisi Muhamad Hairul Miran, Muhamad Suhaili Ab Hamid, Choo Kam Chan dan Mohd Rizal Hassan berjaya mengungguli berpasukan campuran B1/B2/B2/B3 dengan catatan 2,851 jatuhan pin.

Perak acara itu dimenangi Brunei dengan 2,654 jatuhan pin manakala Thailand gangsa (2,525 jatuhan pin.

Zahidi Lamsah, Abu Bakar Nyat, Wong Kee Soon, Muhamad Amin Abd Rashid pula menghadiahkan emas kategori B8/B9/B9/B10 dengan 3, 263 jatuhan pin.


ATLET negara Zahidi Lamsah membuat balingan pada acara Tenpin Boling Kategori TPB1+ TPB2+TPB2+TPB3 di Sunway Mega Lines, Sunway Pyramid, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Filipina meraih perak dalam acara itu dengan 2,809 jatuhan pin manakala Thailand gangsa (2,738 jatuhan pin).Sementara itu, Muhamad Hairul diangkat sebagai atlet paling berjaya apabila memenangi empat emas keseluruhan sepanjang temasya kali ini berlangsung.

"Saya memang tidak jangka boleh dapat menang empat emas tetapi saya percaya jika saya melakukan yang terbaik pasti kejayaan akan memihak kepada saya.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong terutama, jurulatih, rakan, keluarga dan penonton yang hadir bagi memberi sokongan," katanya yang mengalami kecacatan buta sepenuhnya.

Muhamad Hairul memenangi emas dalam acara perseorangan campuran B1, trio lelaki campuran B1/B2/B3, berpasukan campuran B1/B2/B2/B3 dan beregu campuran B1/B3.

Berita Harian X