Rabu, 30 Ogos 2017 | 6:59pm

KL2017: Hampir 800 sampel doping atlet

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mengumpulkan 788 sampel air kencing dan 32 sampel darah daripada atlet, selepas ia melabuhkan tirai pertandingan selama 17 hari.

Ketua jawatankuasa itu, Datuk Dr S S Cheema berkata semua sampel itu akan dihantar segera sebaik selesai acara yang dipertandingkan ke makmal Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di New Delhi, India, yang kosnya lebih murah berbanding makmal di Bangkok, Thailand.

"Kami boleh dapat keputusan dengan segera dalam tempoh 48 jam selepas sampel dihantar ke makmal di India, tetapi kami harus menunggu laporan rasmi sekurang-kurangnya 10 hari.

"Laporan penuh yang saya dapat daripada makmal, kemudian akan dibentangkan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat majlis akan datang," katanya, di sini.

Dr Cheema yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata bilangan sampel urin dan darah yang diambil pada KL2017 lebih tinggi memandangkan jumlah sukan dan acara yang dipertandingkan meningkat berbanding edisi 2015 di Singapura iaitu lebih 600 sampel urin atlet yang diuji.

Malaysia menganjurkan 38 sukan dan 404 acara berbanding 36 sukan dan 402 acara pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Kami bukan sahaja menjalankan pemeriksaan doping kepada semua pemenang pingat tetapi turut mengambil sampel atlet dalam beberapa jenis sukan yang mempunyai sejarah kesalahan doping, tetapi saya tidak boleh mendedahkan sukan itu," katanya.

"Saya cukup berpuas hati kerana semua pihak termasuk atlet dan pegawai memberi kerjasama penuh apabila kita melakukan ujian air kencing dan pemeriksaan darah ketika KL2017 ini," kata Dr Cheema yang juga ahli Jawatankuasa Perubatan dan Doping SEAGF sejak 2007.

Beliau juga berkata 150 pasukan petugas termasuk 79 pasukan kawalan anti-doping daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan 50 sukarelawan terbabit dalam mengumpul sampel air kencing dan darah daripada atlet sepanjang temasya dwitahunan ini. - BERNAMA

Berita Harian X