Ahad, 27 Ogos 2017 | 7:08pm
PEMAIN lelaki negara dari kiri Suhairi Sulaiman, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Kamal Ishak meraih pingat perak dalam acara sepak takraw double lelaki di Sukan SEA KL2017 di Stadium Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KL2017: Beregu takraw sumbang perak, gangsa

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara meraih satu pingat perak dan satu gangsa, masing-masing dalam acara beregu lelaki dan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Skuad lelaki yang pada satu ketika hampir berjaya membawa pulang emas terpaksa akur di kedudukan kedua - hasil tiga kemenangan dan satu kekalahan dengan mengumpul enam mata keseluruhan.

Malaysia mencatat kemenangan ke atas Kemboja 2-0, Filipina (2-1), Laos (2-0) dan tewas 0-2 di tangan Myanmar.

Myanmar memenangi dengan pingat emas manakala pingat gangsa dikongsi Filipina dan Laos pada perlawanan yang menggunakan format round robin.


MUHAMMAD KAMAL ISHAK (kanan) melakukan libasan ketika Malaysia menentang Laos di Stadium Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin


PEMAIN wanita negara dari kiri Nurrashidah Abdul Rashid, Khamisah Khamis dan Nor Farhana Ismail meraih pingat gangsa dalam acara sepak takraw double wanita di Sukan SEA KL2017 di Stadium Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin


KHAMISAH KHAMIS (kiri) menghalang libasan pemain Thailand Somruedee Pruepruk (kanan) ketika Malaysia menentang Thailanddi Stadium Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, hasrat skuad sepak takraw wanita negara untuk melakar kejutan melangkah ke final tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Thailand pada saingan separuh akhir, hari ini.

Skuad bimbingan Md Fikri Md Nor ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand yang ternyata berada di kelas tersendiri apabila menewaskan pasukan tuan rumah 21-12 dan 21-19.

Kekalahan itu menyaksikan skuad wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, berkongsi dengan Myanmar yang tewas 0-2 kepada Vietnam pada satu lagi saingan separuh akhir.

Pada aksi final yang berlangsung di sebelah petang, Thailand tidak berdepan masalah untuk menewaskan Vietnam 2-1 untuk menggondol emas dan Vietnam terpaksa akur dengan perak. - Bernama

Berita Harian X