Ahad, 27 Ogos 2017 | 4:23pm
HENRY (dua dari kanan) dan Rumokol (dua dari kiri) kejuaraan kategori lelaki dan wanita terbuka Maybank Bali Marathon di Gianyar, Bali, hari ini. - Foto Ihsan Maybank Bali Marathon

2 warga Kenya bolot kejuaraan

BALI: Seramai 9,000 peserta dari 44 negara menyertai larian Maybank Bali Marathon 2017 di Gianyar, awal pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 2,500 peserta menyertai kategori maraton penuh 42 kilometer, 3,500 peserta menyertai kategori separa maraton 21 kilometer dan selebihnya terdiri daripada peserta 10 kilometer, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Maraton bermula dari Gianyar melalui sawah dan kawasan perkampungan di Klungkung itu menyaksikan warga Kenya, Henry Kiprotich Kipsang, 29 dan Rumokol Chepkanan, 30, masing-masing memenangi kategori lelaki dan wanita terbuka.

Kedua-duanya memenangi wang tunai 189 juta rupiah (RM60,382) dan pingat yang disampaikan oleh Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Taswin Zakaria.

Henry yang pertama kali menyertai larian terbabit berkata, awal perlumbaan agak sukar kerana tidak biasa berlari dalam cuaca panas terik.

"Jalan berliku juga memberi cabaran untuk menamatkan larian namun pemandangan sekitar kampung yang indah membuatkan perlumbaan ini seronok.

"Untuk menarik lebih ramai peserta luar, pihak penganjur boleh mempertimbangkan cadangan memberi pengiktirafan kepada pemenang dari tempat pertama sehingga ke-10.

"Tahun depan, saya akan kembali mempertahankan kejuaraan," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan, hari ini.

Rumokol berkata, laluan kali ini berbeza berbanding tahun 2015 dan sorakan kanak-kanak yang menanti di tepi jalan menguatkan semangatnya menghabiskan larian.

"Ini kali kedua saya menyertai maraton namun catatan masa direkodkan kurang memuaskan.

"Bagaimanapun, larian merentasi kawasan desa dan bandar ini sememangnya memiliki keistimewaan yang tersendiri," katanya.

Maraton anjuran Maybank Indonesia itu berlangsung sejak 2012.

Berita Harian X