Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:20pm
PASUKAN Chinlone negara ketika beraksi dalam acara non repetition primary, di Stadium Titiwangsa.- Foto Mohd Yusni Ariffin
PASUKAN Chinlone negara ketika beraksi dalam acara non repetition primary, di Stadium Titiwangsa.- Foto Mohd Yusni Ariffin
PASUKAN Chinlone negara ketika beraksi dalam acara non repetition primary, di Stadium Titiwangsa.- Foto Mohd Yusni Ariffin
PASUKAN Chinlone negara ketika beraksi dalam acara non repetition primary, di Stadium Titiwangsa.- Foto BERNAMA

Chinlone tutup gelanggang dengan pingat perak

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa akur dengan kehebatan musuh tradisi Thailand, skuad chinlone negara tetap menepati sasaran apabila memenangi pingat perak dalam acara non repetition primary, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017), sebentar tadi.

Dalam aksi final di Stadium Tertutup Titiwangsa, Malaysia tewas dengan perbezaan 63 mata selepas sekadar mengumpul 300 mata berbanding skuad Gajah Perang itu yang meraih 363 mata.

Bagi Pengurus Pasukan Chinlone, Wan Husni Abdullah, walaupun gagal mencipta kejutan, tetapi dia tetap berpuas hati dengan semangat juang dipamerkan anak didiknya.

"Walau apapun keputusan malam ini, saya tetap berbangga dengan persembahan pemain kerana menunjukkan kesungguhan tinggi. Malah, tadi mereka juga berjaya merakamkan rekod baharu daripada segi jumlah kutipan mata.

"Memang masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Masalah asas yang lemah membawa kepada insiden beberapa kali bola terjatuh sekali gus menyebabkan kita ketinggalan di awal permainan," katanya.

Sebelum itu, dalam pusingan awal di sebelah petang, Malaysia yang mengumpul 298 mata bersama Thailand (372) tidak berdepan masalah mengetepikan Kemboja (280) dan Brunei (147) untuk melangkah ke final.

Kejayaan itu menyaksikan skuad negara menutup gelanggang chinlone dengan mengutip satu pingat emas, satu pingat perak serta dua pingat gangsa sekali gus menjadi pencapaian terbaik sejak acara itu mula dipertandingkan pada edisi 2013 di Myanmar.

Sebagai rekod pada edisi 2015 Singapura, Malaysia meraih satu pingat perak dan gangsa (satu). Skuad negara merangkul enam pingat gangsa ketika negara pengasasnya, Myanmar menjadi tuan rumah edisi 2013.

Berita Harian X