Khamis, 17 Ogos 2017 | 3:58pm
PASUKAN Chinlone negara yang diketuai Muhammad Idham Sulaiman (kanan) beraksi dalam acara Chinlone Event 4 (non repetition secondary) Sukan Sepak Takraw Sukan SEA KL2017 di Stadium Tertutup Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Anak Mat Over dapat gangsa

KUALA LUMPUR: Kapten skuad chinlone negara, Muhammad Idham Sulaiman menyifatkan kejayaan meraih pingat gangsa dalam acara keempat (non repetition secondary) sebentar tadi sebagai satu kejayaan membanggakan.

Dalam aksi pusingan awal di Stadium Tertutup Titiwangsa itu, Malaysia sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga selepas mengumpul 106 mata sekali gus terlepas tiket ke pentas final yang menjadi rebutan antara Myanmar yang meraih 137 mata dan Laos (133 mata).

Bagaimanapun, Muhammad Idham, 24, anak kepada pelawak dan pelakon, Sulaiman Yassin atau Mat Over tetap berpuas hati dengan pencapaian itu kerana mereka hanya berlatih selama tiga bulan saja.

"Kami sangat berbangga kerana dengan latihan tiga bulan, kami berjaya meraih pingat gangsa dalam permainan yang belum dikuasai kami sepenuhnya.

"Sebenarnya kami tidak diletakkan harapan begitu tinggi dalam acara ini kerana tumpuan lebih terarah kepada acara pertama dan ketiga, jadi pingat gangsa ini boleh dianggap sebagai satu rezeki," kata Muhammad Idham yang ditemui selepas menamatkan aksi selama 20 minit itu.

Pingat emas menjadi milik Myanmar selepas berjaya mengetepikan Laos dengan kelebihan satu mata pada aksi final selepas itu dengan masing-masing mengumpul 149 mata dan 148 mata.

Namun, skuad bimbingan Ahmad Ezzat Mohammad Zaki harus gembira kerana mereka turut berjaya memperbaharui rekod melepasi angka 100 mata buat kali pertama.

"Kebiasaannya ketika latihan kami tidak akan mencapai lebih daripada 100 mata, tetapi hari ini kami bersyukur kerana selain mendapat tempat ketiga, kami juga berjaya melepasi angka terbabit," kata Muhammad Idham.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Idham berjanji akan tampil lebih bertenaga bagi memburu pingat emas dalam acara sama di temasya Sukan SEA dua tahun lagi.

Sebagai rekod, skuad chinlone negara sudah menyumbang satu pingat emas dan dua gangsa setakat tengahari ini, dan petang ini, mereka sekali lagi akan turun beraksi dalam acara kegemaran - pertama (non repetition primary).

Berita Harian X