Rabu, 16 Ogos 2017 | 9:30pm
PASUKAN Chinlone negara memenangi pingat gangsa dalam acara Chinlone Event 2 (same stroke) sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ke-29 di Stadium Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Malaysia menang gangsa chinlone 'same stroke'

KUALA LUMPUR: Skuad chinlone negara menerusi acara same stroke meraih gangsa selepas berakhir pusingan awal di Stadium Tertutup Titiwangsa, sebentar tadi.

Malaysia menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 182 mata, berkongsi gangsa dengan Laos yang mengumpul 161 mata.

Ia juga pingat kedua bagi tiga pemain iaitu Faiz Roslan, Asyraaf Abd Hadi dan Iskandar Zulkarnain Salim yang meraih emas pertama kontinjen Malaysia dalam acara linking, pada sebelah tengah hari.

Pasukan pilihan Myanmar ternyata unggul apabila mengumpul 301 mata ketika menewaskan Malaysia, dalam laluan ke final menentang Thailand.

Dalam aksi final, Myanmar membuktikan keunggulan apabila memastikan emas menjadi milik mereka dengan membenam cabaran Gajah Putih di final, dengan mengumpul 317 mata manakala lawan meraih 303 mata.

Aksi chinlone bersambung esok menerusi dua acara iaitu non-repetition primary dan non-repetition secondary.

Berita Harian X