Rabu, 16 Ogos 2017 | 6:58pm
BARISAN pelumba basikal trek (endurance) diharap dapat menyinarkan kilauan emas pada temasya Sukan SEA 2017.- Foto Osman Adnan

Kumaresan harap emas kejar-mengejar berpasukan

BEKAS jaguh berbasikal negara, M Kumaresan berharap barisan lima pelumba skuad kejar-mengejar berpasukan menyinarkan kilauan emas pada temasya Sukan SEA 2017 ini.

"Jika anda tanya saya, sudah tentu saya mahu setiap atlet memenangi acara yang disertai mereka dan saya mengharapkan skuad kejar-mengejar juga mencatat masa yang lebih baik, dan sebagainya."

Kumaresan, yang mewakili negara pada Sukan Olimpik 1988 dan 1992, percaya Muhamad Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek, Eiman Firdaus Mohd Zamri, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan Hamdan Hamidun mempunyai kemampuan untuk meraih emas acara trek itu daripada 13 acara yang dipertaruhkan.

Berbasikal trek dianggap lubuk pada Sukan SEA kali ini dan Kumaresan berpendapat dia tidak mengharapkan sesuatu di luar jangkauan kerana kualiti kayuhan pelumba negara semakin meningkat naik.

"Kita setakuk di atas negara pencabar lain kerana kita berada di dalam kelas dunia, ada Azizulhasni (Awang), Fatehah (Mustapa) dan beberapa pelumba lain dalam program elit yang menyertai pertandingan di peringkat dunia.

"Tetapi sebagai bekas pelumba, saya sedar walaupun kita dalam kelas dunia, ada kemungkinan lain yang boleh berlaku seperti terjatuh atau kemalangan. Namun lihat saja kepada Azizul, dia cukup berpengalaman dan kita tahu berbasikal boleh menghadiahkan banyak pingat."

Kumaresan percaya acara berbasikal trek mampu menyumbang banyak pingat pada temasya kali ini kerana skuad negara sudah bersiap-sedia dalam program pembangunan sejak sekian lama.

"Melihatkan kepada persembahan mereka, kita boleh melakukannya dan ya, walaupun ada tekanan tetapi pelumba seperti Azizul dan Fatehah tahu bagaimana untuk menanganinya."

Jaguh negara Azizulhasni dijangka menyertai acara kegemarannya keirin dan pecut 200 meter manakala Fatehah yang akan membuat kemunculan kali ketiga di temasya serantau itu, akan beraksi dalam acara pecut, keirin, 500 meter ujian masa dan pecut berpasukan wanita.

Azizul mengumpul dua perak dalam acara 1km ujian masa dan pecut, masing-masing di belakang pelumba senior ketika itu, Rizal Tisin dan Josiah Ng, dalam kemunculan pertamanya di Korat 2007.

Pada 2011, Fatehah meraih tiga emas dalam acara pecut, 500m ujian masa dan pecut berpasukan, bersama Jupha Somnet.

Berita Harian X