Rabu, 16 Ogos 2017 | 3:17pm
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader (kanan) dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail (kiri) bergambar bersama pasukan Chinlone negara yang memenangi pingat emas pertama Sukan SEA KL2017 dalam acara Chinlone Event 3 (Linking) Sepak Takraw di Stadium Tertutup Titiwangsa, sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Emas pertama hasil perguruan di Myanmar

KUALA LUMPUR: Kapten pasukan chinlone negara, Izuan Affendi Azlan gembira pengorbanan berlatih di Myanmar akhirnya membuahkan hasil diharapkan apabila merangkul emas pertama Malaysia menerusi acara linking di Sukan SEA, sebentar tadi.

"Hanya siapa yang bersama kami berlatih di Myanmar tahu mengenai kesukaran dan kepayahan yang perlu kami harungi.

"Kami ke sana tanpa sebarang kemahiran chinlone yang sempurna, hanya dengan teknik sebagai pemain sepak takraw sehingga ada yang kecewa," jelasnya.

Antara kesukaran yang dihadapi pemain negara yang dihantar berlatih di Myanmar pada awal tahun ini adalah cuaca yang panas mencecah sehingga 40 darjah celcius, berjalan kaki sejauh 10 kilometer ke tempat latihan dan bergelut dengan isu makanan.

"Bagaimanapun semua pengorbanan itu berbalas dengan kejayaan emas ini. Inilah pingat emas pertama selepas kami mencuba sejak edisi 2013.

"Saya berharap ia akan membakar semangat rakan yang lain untuk terus meraih emas kepada negara," katanya.

Terdahulu, skuad negara yang diketuai Izuan Affendi mempamerkan persembahan meyakinkan apabila menempah tiket ke final bertemu Filipina selepas mengumpul 376 mata di pusingan awal.

Aksi cemerlang itu diteruskan di pentas final apabila mengumpul 391 mata berbanding Filipina yang meraih 271 mata dalam aksi dua set.


PASUKAN Chinlone negara beraksi pada pusingan penentuan pingat emas dan perak di hari pertama Sukan Sepak Takraw dalam acara Chinlone Event 3 (linkin) di Stadium Tertutup Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin


PASUKAN Chinlone negara (oren) bersama pasukan Filipina (ungu) beraksi pada pusingan penentuan pingat emas dan perak di hari pertama Sukan Sepak Takraw dalam acara Chinlone Event 3 (linkin) di di Stadium Tertutup Titiwangsa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Berita Harian X